Orang Asli Tidak Ketinggalan Nikmati Kemudahan Teknologi, Internet


SUNGAI SIPUT – Meskipun tinggal di kawasan terpencil, penduduk Orang Asli Pos Poi di sini tidak ketinggalan daripada arus kemodenan teknologi dan menikmati kemudahan liputan internet serta telefon di kawasan penempatan mereka.

Menurut seorang penduduk Rosli Hitam, 36, liputan talian telefon mudah alih adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh penduduk memandangkan mereka tinggal di kawasan pedalaman.

“Sejak liputan telefon ada di kampung ini, mudah untuk kami menghubungi pihak hospital atau Jabatan Kemajuan Masyarakat Orang Asli sekiranya berlaku kecemasan.

“Berbeza dengan sebelum ini apabila kami terpaksa membawa pesakit keluar dari kawasan ini untuk mendapatkan rawatan kerana tiada talian telefon,” katanya kepada Bernama pada Majlis Santai Pagi Bersama Komuniti 1Malaysia sempena Program ‘Connecting The Unconnected’ (CTU) di Kampung Lalang di Pos Poi semalam.

Mengenai program CTU, beliau menyambut baik program anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) itu kerana ia adalah usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti penyampaian maklumat agensi kerajaan yang lebih efisien.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi peluang kepada penduduk Orang Asli untuk menikmati kemudahan seperti telefon dan internet seperti penduduk yang tinggal di bandar,” katanya.

Bagi seorang siswazah dari Universiti Teknologi Mara Seri Iskandar, Amik Asod, 22, dia kini dapat mengakses internet ketika melakukan tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

“Mudah untuk saya memperoleh maklumat dan tahu perkembangan terkini mengenai negara ini menerusi internet kerana sebelum ini saya terpaksa keluar ke bandar untuk menyiapkan tugasan,” katanya yang bakal bekerja sebagai guru tadika.

Tegasnya, tinggal di kawasan terpencil bukan alasan untuk Orang Asli tidak berjaya dan tidak dapat menikmati kemudahan teknologi seperti penduduk di bandar.

“Orang Asli boleh berjaya sekiranya mereka belajar dan tidak hanya seperti katak bawah tempurung,” katanya.

Penolong Kanan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pos Poi Sharudin Shariff, 35, berkata lebih ramai anak-anak Orang Asli berminat ke sekolah sejak kemudahan internet diwujudkan di sekolah.

“Teknologi (internet) ini juga amat penting bagi memudahkan sesi pembelajaran di sekolah. Walaupun liputan telefon dan internet tidak begitu baik, sekurang-kurangnya murid Orang Asli tidak ketinggalan jauh dari arus teknologi,” katanya yang telah berkhidmat di sekolah itu selama 13 tahun.

Menurutnya kemudahan lain seperti elektrik di sekolah tidak mempunyai masalah, namun hanya penduduk memperoleh bekalan elektrik menerusi generator dan berharap kerajaan dapat menyalurkan bekalan elektrik 24 jam kepada penduduk.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Lintang Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata berkata menerusi kemudahan ini, ia menunjukkan kerajaan tidak meminggirkan masyarakat Orang Asli.

Zolkafly berkata pihak Celcom akan menaik taraf prasarana komunikasinya di kawasan itu selewat-lewatnya Julai ini.

“Penduduk diharap bersabar kerana mereka akan mendapat liputan lebih baik tidak lama lagi,” katanya.

Ditanya mengenai penduduk di Pos Poi, beliau berkata Pos Poi mempunyai tujuh kampung iaitu Kampung Terhem, Kampung Kabu, Kampung Chat, Kampung Jelwet, Kampung Lalang, Kampung Gerol dan Kampung Sanum.

Katanya kawasan terbabit mempunyai lebih 900 penduduk yang terdiri daripada suku kaum Temiar. – BERNAMA