ANTARA wanita warga Vietnam yang diberkas kerana bekerja secara haram di sebuah pusat hiburan di Taman Usahawan. |
KUALA LUMPUR - Bayar harga minuman serendah RM20 dan dibenarkan memilih wanita pelayan pelanggan (GRO) ditawarkan. Itu antara pakej maksiat dikesan dilakukan di sebuah pusat hiburan di Taman Usahawan, Kepong, di sini.
Kebanyakan pelanggan di kalangan lelaki tempatan dikesan berpusu-pusu di pusat hiburan itu berikutan terpikat dengan berpuluh GRO warga Vietnam disediakan.
Kegiatan maksiat itu bagaimanapun dibongkar hasil serbuan sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Maksiat, Kongsi Gelap dan Judi (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur diketuai Asisten Superintendan Mohd Hanis Abd Wahab.
Dalam serbuan jam 10.45 malam kelmarin, pusat hiburan itu turut didapati menggaji pekerja warga asing tanpa permit sah.
Sumber polis berkata, polis berjaya menahan seramai 31 GRO warga Vietnam bersama seorang wanita yang dipercayai ‘ibu ayam’ di kelab itu.
“Polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang bekerja sebagai penjaga premis untuk membantu siasatan lanjut.
“Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas pelbagai peralatan muzik, pembesar suara bersama resit jualan dan kad kehadiran pekerja,” katanya.
Menurutnya, seramai 53 pelanggan yang berada di dalam premis hiburan berkenaan turut diperiksa sebelum dilepaskan selepas didapati tidak melanggar sebarang kesalahan.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan kerana beroperasi tanpa lesen atau permit sah.
“Polis turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1) akta yang sama serta Seksyen 39b Peraturan - Peraturan Imigresen,” katanya.
Sumber: myMetro