PAN "Paksa" Ahli Sertai Program Solidariti Mat Sabu?


KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) memberi amaran keras kepada seluruh ahlinya di Perak supaya menghadiri majlis Malam Solidariti Mat Sabu di Ipoh malam ini.

Pengarah Komunikasi PAN Perak, Abdul Rahim Mohd. Noordin berkata, beliau mahu setiap ahli PAN Perak menghadiri majlis itu sebagai tanda mereka menyayangi Mat Sabu (Presiden PAN, Mohamad Sabu).

“Malam Solidariti untuk Presiden PAN ini merupakan sokongan kasih sayang ahli dan penyokong PAN serta Pakatan Harapan terhadap beliau yang disaman RM200,000 semasa menjadi Timbalan Presiden PAS.

“Semua ahli dan penyokong PAN Perak diminta hadir. Jangan ada seorang pun ahli dan penyokong berada di Parlimen masing masing pada hari tersebut. Ini satu tanda sokongan dan kasih sayang kita pada perjuangan Mat Sabu,” tegasnya dalam satu kenyataan media semalam.

Abdul Rahim berkata, semua pimpinan, ahli dan penyokong Pakatan Harapan dari DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak turut dijemput hadir.

Mat Sabu yang juga Presiden PAN berdepan dengan tuntutan muflis selepas gagal membayar hutang untuk satu kes saman fitnah.

Ia melibatkan tuntutan daripada bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Mat Sabu meminta bantuan orang ramai mengumpul dana untuk beliau membayar saman itu, namun permintaannya dicemuh banyak pihak. –Kedahnews.com