"Panaih Lit Lit": Kedah Pertimbang Pembenihan Awan


JITRA - Kerajaan negeri Kedah mungkin mempertimbangkan untuk melakukan pembenihan awan atau penjadualan semula tanaman padi sekiranya keadaan cuaca panas dilihat semakin menjejaskan aktiviti pertanian.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, bagaimanapun beliau mahu mendengar taklimat daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan Syarikat Air Darul Aman (Sada) berkenaan aktiviti pertanian khususnya penanaman padi dan kedudukan paras air sebelum memutuskan apa-apa tindakan.

"Kita akan bincang dengan jabatan-jabatan berkaitan mengenai tindakan yang perlu diambil akibat kemarau berpanjangan ini kerana kita bimbang ia akan jejaskan pertanian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Pejabat Daerah Kubang Pasu di sini, semalam.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
Kemarin, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, paras air di tiga empangan utama di Kedah berada pada paras selamat bagi menampung kegunaan domestik, industri dan pertanian sekiranya fenomena El Nino berterusan.

Sehingga 13 Mac lepas, Empangan Pedu mencatatkan bacaan 917 juta meter padu air atau 85 peratus, empangan Ahning sebanyak 210 juta meter padu atau 83 peratus manakala Empangan Muda ialah 87 juta meter padu atau 56 peratus.

Datuk Badrol Hisham Hashim
Dalam perkembangan lain, beliau yakin dapat mengurangkan jumlah hutang kepada kerajaan persekutuan melalui beberapa perancangan dan program yang telah dirangka.

"Ini merupakan hutang yang lama. Tapi itu untuk pembangunan di Kedah dan untuk rakyat, hutang berkaitan air paling banyak sekali iaitu lebih RM1 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Kementerian Kewangan semalam yang melaporkan jumlah hutang kerajaan-kerajaan negeri yang masih belum dijelaskan kepada kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM16.8 bilion, setakat 31 Disember tahun lepas.

Kedah merupakan negeri keempat merekodkan jumlah hutang tertinggi iaitu RM2,283.30 juta selepas Pahang, Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri giat mencari dan menyediakan suasana ekonomi yang kondusif di negeri ini bagi menarik kemasukan pelabur-pelabur terutamanya dari China.

Ahmad Bashah berkata, dalam pertemuannya dengan Konsul Jeneral China di Pulau Pinang, Wu Jun, semalam, industri pelancongan mungkin menjadi antara satu bidang utama yang boleh diceburi pelabur-pelabur memandangkan kebolehupayaan Kedah menawarkan pelbagai khazanah sejarah yang menarik.

"Kita juga nak tahu apa yang dikehendaki oleh pelabur dan pengusaha China ini, mungkin dari segi infrastruktur dan apa kemudahan yang mereka inginkan dan apa yang kita boleh bantu," katanya. - Bernama