PAP Gesa Sidang DUN P. Pinang Bawa Usul Gantung LGE

Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang
BAYAN BARU – Parti Alternatif Rakyat (PAP) mendesak anggota-anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang membawa usul khas tergempar untuk menggantung sementara Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.

Perkara tersebut disuarakan sendiri oleh setiausaha parti serpihan DAP itu, Rahmad Ishak kepada pemberita pada sidang akhbar di Hotel Seri Malaysia di sini, Sabtu bersama-sama dengan presidennya, Zulkifli Mohd. Noor.

Ujar beliau, Guan Eng sepatutnya digantung daripada tugas rasminya sebagai ketua eksekutif kerajaan negeri itu sementara menunggu proses siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas beliau selesai.

“Semua ahli DUN yang diberi mandat oleh rakyat, wajar menjalankan tugas mereka dengan minta Speaker DUN untuk mengadakan persidangan tergempar bagi membawa usul penggantungan Ketua Menteri,” kata Rahmad.

“Langkah ini perlu dilakukan sehingga pihak SPRM mengesahkan Guan Eng bebas daripada sebarang salah laku kuasa berkaitan skandal banglo murahnya dengan isu tanah Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin,” tegasnya.

Gesaan PAP yang ditubuhkan di Pulau Pinang pada Hari Malaysia 2014 oleh ramai veteran bekas pemimpin DAP, secara kebetulan menyerupai seruan bekas sekutu pembangkang, PAS yang mendesak Guan Eng bercuti rehat.

Peguam propembangkang yang pernah menerajui sebuah badan bebas BERSIH untuk desak pembaharuan sistem pilihan raya di Malaysia, Datuk S. Ambiga turut menyuarakan pandangan sama ke atas Guan Eng dalam isu itu.

Ini kerana mereka berpendapat, Guan Eng yang juga dianggap sebagai penjawat awam wajar ‘berhenti’ seketika daripada menjalankan tugas rasmi susulan skandal hartanah di George Town tersebut yang disiasat SPRM.

Bagaimanapun Guan Eng kemudian menegaskan bahawa tidak keperluan untuk beliau berbuat demikian dan ini turut disokong oleh Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. – Agensi