PAS Dedah Pakatan Harapan Mahu Bentuk Negara Anarki

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KUALA LUMPUR – “PAS tidak mahu mengambil risiko menyeret negara ke arah anarki yang hanya merosakkan kestabilan politik, menjahanamkan ekonomi serta mengsengsarakan rakyat”

Itu ketegasan PAS Pusat berhubung pendirian Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan menyertai perhimpunan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, keengganan Abdul Hadi menyertai himpunan pada 27 Mac tersebut selari dengan budaya politik matang yang sedang diterajui oleh PAS.

“PAS menolak politik kebencian dan politik emosi. Sementelah PAS sejak awal memilih kaedah demokrasi untuk menaik dan menurunkan seseorang pemimpin. PAS menolak budaya anarki,” tegas dalam satu kenyataan media semalam.

Kenyataan PAS Pusat dalam mempertahankan pendirian Abdul Hadi itu satu tamparan hebat kepada pemimpin Pakatan Harapan dan kumpulan penentang dalaman UMNO.

Pakatan Harapan dan kumpulan penentang dalaman UMNO sedang bekerjasama bagi menjatuhkan Perdana Menteri melalui jalan belakang demi kepentingan politik masing-masing.

Pakatan Harapan dianggotai oleh DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN).

Kumpulan penentang dalaman UMNO pula merujuk kepada gerakan oleh bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz serta bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdendam dengan Najib.

Semalam, pakar propaganda PKR, Rafizi Ramli menyelar Abdul Hadi kerana enggan menyertai himpunan bagi menjatuhkan Perdana Malaysia tersebut.

Nasrudin menjawab, PAS sama sekali tidak bersetuju dengan tindakan menjatuhkan pemimpin negara ini secara tidak demokratik seperti yang diusahakan oleh Pakatan Harapan dan Mahathir. –Kedahnews.com