PAS Dedah Wajah Sebenar DAP Terhadap Islam

Ketua Jabatan Sumber Pusat Penyelidikan PAS, Mohd. Fadli Ghani
KUALA LUMPUR – PAS mendedahkan antara usaha terawal DAP dalam menghalang undang-undang Islam daripada dilaksanakan di Malaysia dengan tindakan DAP Sabah cuba membentuk Pakatan Rakyat Baharu (PRB) pada 27 Mac 2015.

Ketua Jabatan Sumber Pusat Penyelidikan PAS, Mohd. Fadli Ghani berkata, DAP Sabah mengumumkan cadangan mereka membentuk PRB di Sabah yang melibatkan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan beberapa parti kecil lain tanpa penglibatan PAS.

“Menurut Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt, tindakan DAP Sabah ini adalah sebagai protes terhadap usaha PAS untuk melaksanakan hudud dan menurut beliau tindakan itu selaras dengan pendirian Penasihat DAP, Lim Kit Siang,” katanya.

Beliau mendedahkan perkara itu dalam satu artikel bertajuk Hari Ini Dalam Sejarah PAS: DAP Sabah Umum Bentuk Pakatan Politik Baharu Tanpa PAS Kerana Protes Hudud, semalam.

Mohd. Fadli turut mendedahkan DAP mengambil sikap yang keras terhadap PAS sejak Kerajaan Kelantan mengumumkan PAS akan membawa Rang Undang-undang Persendirian ke Parlimen untuk membolehkan undang-undang syariah dilaksanakan di Kelantan.

Kata beliau, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada 24 Februari 2015 mengumumkan bahawa DAP telah hilang kepercayaan kepada PAS kerana ‘mengkhianati Pakatan Rakyat dengan cuba membawa rang undang-undang persendirian itu ke Parlimen.

“Atas kenyataan DAP ini, PAS Labuan telah menggantung semua kerjasama dengan DAP,” katanya.

Katanya, DAP menuduh PAS mengkhianati Pakatan Rakyat dan mula memusuhi PAS gara-gara sikap PAS yang bersungguh-sungguh untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah itu,

“Tindakan DAP Sabah yang cuba membentuk PRB pada 27 Mac 2015 tanpa penglibatan PAS ini adalah antara usaha terawal DAP dalam menghalang undang-undang Islam daripada dilaksanakan di negara ini,” tegasnya.

Perbalahan diantara PAS dengan DAP dan PKR itu menyebabkan pembubaran Pakatan Rakyat pada Ogos tahun lalu.

Pemimpin PAS pro-DAP dan PKR dengan diketuai Mohamad Sabu bertindak keluar parti bagi mewujudkan Parti Amanah Negara (PAN).

DAP, PKR dan PAN kemudian mewujudkan Pakatan Harapan untuk meneruskan agenda politik bagi mengulingkan kerajaan dan membebaskan banduan kes liwat, Datuk Seri Anwar Ibrahim. –Kedahnews.com