PAS Imbas Kembali Kenangan Pahit "Dosa-Dosa" Dr Mahathir

KUALA LUMPUR – PAS mengingatkan masyarakat terutama ahli dan para penyokongya supaya tidak terlupa tentang perbuatan zalim Tun Dr. Mahathir Mohamad ke atas mereka sewaktu mentadbir negara ini.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, masyarakat terutama ahli dan penyokong PAS tidak boleh melupakan perkara itu hanya kerana Mahathir mengumumkan penentangannya ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“PAS sudah lupakah peristiwa memali? Suka saya sebut, Mahathirlah yang bertanggungjawab kerana waktu itu beliau adalah Perdana Menteri. Sehingga hari ini belum kedengaran beliau mohon maaf.

“PAS sudah lupakah pimpinan PAS terdahulu disumbat dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dipenjara dan dibelasah Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

“Suka saya nyatakan bahawa Mahathirlah yang bertanggungjawab kerana waktu itu beliau adalah Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Najib selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri telah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959 yang didakwa sebilangan masyarakat sebagai akta yang zalim.

Justeru, Nasrudin meminta masyarakat terutama ahli dan penyokong PAS mengingati kezaliman Mahathir selama lebih 22 tahun sebagai Perdana Menteri tersebut berbanding pemerintahan Najib yang masih baru.

Beliau berkata demikian bagi mengulas seruan Mahathir supaya semua pihak termasuk pemimpin dan ahli parti pembangkang menyertai perjuangannya menjatuhkan Najib.

Malah, Mahathir kelmarin menggunakan strategi keluar UMNO seperti yang beliau lakukan untuk menjatuhkan Presiden UMNO yang enggan patuh pada kehendak dan permintaannya sebelum ini.

Beliau turut mengumumkan bersedia menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan yang didominasi oleh DAP kerana kedua-duanya mempunyai kepentingan politik masing-masing untuk menjatuhkan Najib.

Seruan itu disambut baik oleh Pakatan Harapan dan turut menyeru supaya pemimpin dan penyokong PAS menyertai kerjasama untuk merampas kerajaan secara tidak demokratik berkenaan. –Kedahnews.com