ALOR SETAR - Sebahagian aktivis sosial, NGO, pemimpin politik termasuk petani berhimpun menyuarakan hasrat berhubung masa depan Jelapang Padi negara, selain bangkit membela nasib petani pada Himpunan Pesawah, di Dataran Kerpan, semalam.
Ketua Penerangan Pemuda Pas Kedah, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, himpunan itu dibuat berikutan wujud kebimbangan tentang nasib petani susulan termeterainya Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).
“Nasib petani bagai nyawa di hujung tanduk. Mereka berdepan kemungkinan hilang pendapatan apabila beras gred lebih tinggi dari negara luar dijual pada harga setara dengan beras keluaran negara. Secara praktikal, penduduk akan memilih makanan ruji yang menawarkan pilihan lebih bernilai,” katanya.
Menurutnya, isu tanah sawah yang kian berkurangan akibat perubahan syarat tanah, tebus tanah dan sebagainya, juga wajar diberi perhatian.
“Isu yang menjadi viral sekarang adalah isu padi tempatan tidak laku berbanding padi import. Beberapa NGO seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) giat bersuara termasuk Pemuda Pas Kedah tidak ketinggalan memobilasi tenaga untuk menyokong perjuangan ini,” katanya.
Ahmad Tarmizi yang juga Naib Presiden Mapim berkata, isu lambakan padi tempatan bermula sejak tahun lalu sebelum TPP dimeterai lagi, dibimbangi ia bertambah buruk apabila TPP dilaksana.
“Isu penswastaan dan monopoli Padiberas Nasional Berhad (Bernas) juga antara dilema petani.
"Lembaga berkaitan masa depan padi dan petani perlu diwujudkan semula dan kami menyokong jika kerajaan melaksanakannya,” katanya.
Menurutnya, selepas Bernas diswasta dan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) dibubarkan, jumlah kilang Melayu berkurangan dari 196 kepada 23 buah.
“Sudah pasti pihak swasta kurang ambil berat kebajikan petani berbanding lembaga yang diwujudkan bawah kerajaan. Kami harap semua anak muda, aktivis, ahli politik dan NGO sertai himpunan anjuran Kongres Rakyat ini untuk membela petani,” katanya.
Sumber: Sinar Harian