PAS Ketepi Hak Asasi Wanita Sebagai Manusia, Kata Guan Eng

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
KUALA LUMPUR – PAS sebuah parti politik yang akan mengurung kaum wanita Malaysia di rumah jika rakyat memilih parti itu memerintah negara.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, fahaman parti PAS mengenai wanita berbeza dengan DAP yang berpandangan golongan itu setaraf dengan lelaki dalam semua aspek.

“Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata wajar institusi keluarga dipulihkan dengan memberi ruang kepada golongan isteri melaksanakan fungsi sebenar mereka di rumah sebagai isteri dan ibu.

“Kenyataan itu sangat keterlaluan, seksis, feudal dan mengenepikan peranan wanita dengan menafikan hak asasi dan sama rata untuk mencapai potensi yang kehendaki mereka sebagai manusia,” tegasnya dalam satu kenyataan media kelmarin.

Guan Eng berkata, golongan wanita tidak sepatutnya hanya menjadi suri rumah dan ibu semata-mata, sebaliknya berhak untuk menceburi bidang pekerjaan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

Justeru, kata beliau, adalah penting untuk meningkatkan peratusan penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan di negara ini bagi memacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi.

“Untuk mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi, adalah amat membantu sekiranya penglibatan wanita dalam sektor pekerja ditingkatkan kepada lebih 65 peratus,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mencabar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat kenyataan bagi menolak pandangan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat tersebut.

Beliau turut mendesak Abdul Hadi supaya mengesahkan bahawa peranan lelaki dan wanita sama penting untuk pembangunan negara ini. – Kedahnews.com