PAS Sedia Berdepan Pakatan Harapan Di PRN Sarawak

Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali
KUALA LUMPUR – PAS mengumumkan bahawa parti itu bersedia untuk menentang mana-mana parti yang mewakili Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan dalam kenyataannya bahawa PAS tidak gentar untuk berdepan dengan Pakatan Harapan dalam pertandingan tiga penjuru sekiranya berlaku di mana-mana kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Namun begitu, PAS membayangkan tentang kemungkinan tidak bertembung dengan PKR ekoran telah berbincang dengan parti sekutu DAP dan PAN tersebut sebelum ini.

“Rundingan PAS hanya berlaku dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kita tiada sebarang rundingan dengan DAP dan Parti Harapan Negara (PAN).

“Adapun kemungkinan berlaku pertembungan dengan Pakatan Harapan yang akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru, PAS bersedia berhadapan dengannya. PAS bersedia menghadapinya,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustafa mengulangi keputusan PAS yang difahamkan akan bertanding di DUN Pantai Damai, DUN Samariang, DUN Muara Tuang, DUN Sadong Jaya, DUN Sebuyau, DUN Beting Maro, DUN Jepak, DUN Samalaju dan DUN Lambir.

Kata beliau, PAS pastinya akan berusaha keras bagi memenangi kerusi-kerusi yang ditandingi berkenaan. -Kedahnews.com