Datuk Seri Abdul Hadi Awang. |
KUALA LUMPUR - Pas tidak akan menyokong undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman jika ia melibatkan isu merebut jawatan, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, sebaliknya Pas hanya akan memberi keutamaan kepada isu yang difikirkan munasabah.
"Kita tidak terlibat dalam usul undi tidak percaya. Terpulang pada Umno sebab mereka majoriti.
"(Bagi Pas) kita akan lihat isu-isu yang munasabah bukan isu nak rebut jawatan," katanya kepada media di lobi Parlimen, semalam.
Kelmarin, Yang Dipertua Dun Terengganu, Datuk Mohd Zuber Embong menolak usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif yang dikemukakan Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said di Persidangan Dun.
Penolakan itu dibuat berikutan Ahmad tidak mendapat kebenaran dewan untuk mengusulkannya mengikut Fasal 45.
Sementara itu, mengulas mengenai pendirian Pas dalam Deklarasi Rakyat, Abdul Hadi sekali lagi menegaskan parti itu hanya akan bersetuju jika perubahan pentadbiran negara dibuat secara demokrasi.
"Ada tempat yang kita setuju, ada yang kita tak setuju. Yang kita setuju perubahan, yang kita tak setuju gopoh.
"Kita mahu perubahan secara demokrasi sama ada pilihan raya atau undi tak percaya. Undi tak percaya mestilah majoriti di parlimen," katanya.
Bagaimanapun, katanya, undi tidak percaya juga akan gagal sekiranya tidak mendapat sokongan ahli parlimen Umno.
"Majoriti di Parlimen mesti datang dari orang Umno sendiri. Kalau Umno tak ubah, kita saja yang 14 kerusi ini, nak buat apa?
"Sia-sia sajalah. Tapi (undi tidak percaya) mesti ada munasabahnya," katanya.
Sumber: Sinar Harian