ALOR SETAR - Dorcas Chua Ghia Ern tidak sangka memperoleh keputusan cemerlang 11A+ dan 1A kerana terpaksa mengambil peperiksaan di hospital akibat demam denggi.
Pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan(SMJK) Keat Hwa itu berkata dia dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada 13 hingga 17 Nov tahun lepas dan terpaksa menjawab tiga subjek peperiksaan di hospital.
"Masa peperiksaan Matematik pada 16 Nov lepas, saya tidak selesa kerana badan berasa gatal hingga mengganggu tumpuan untuk menjawab kertas peperiksaan," katanya yang berada pada kedudukan dua daripada 22 calon SPM 2015 yang mendapat gred A+ dan A di Kedah yang diumumkan hari ini.
Dorcas Chua, 18, berkata selepas keluar dari hospital, keadaannya masih dalam keadaan lemah dan tidak mampu untuk mengulang kaji dengan lebih agresif bagi menghadapi baki kertas peperiksaan ketika itu.
"Saya bersyukur dan tidak menyangka apabila melihat ketiga-tiga mata pelajaran itu mendapat A+," kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.
Katanya dia turut berterima kasih kepada rakan-rakan sekolahnya kerana sentiasa melawatnya sepanjang berada di hospital serta membantunya dalam mengulang kaji pelajaran.
Turut cemerlang ialah rakan sekelas Dorcas Chua, Maisarah Mukhtar, 18, yang mendapat keputusan 10A+.
Anak bongsu daripada tiga beradik yang berasal dari Tandop, di sini berkata dia tidak pernah mengikuti kelas tuisyen sebaliknya sentiasa bertanyakan guru sekiranya tidak memahami sesuatu mata pelajaran.
"Saya sentiasa buat rujukan kepada guru-guru dan sentiasa melakukan ulang kaji dan latihan bersama-sama rakan sekelas," katanya.
Maisarah yang merupakan satu-satunya pelajar Melayu di kelasnya berkata persaingan dengan rakan-rakan menjadi pembakar semangat untuknya berusaha dengan lebih keras bagi mencapai keputusan yang baik.
"Saya juga sentiasa mengulang kaji pelajaran di perpustakaan sekolah sehingga pukul 3 petang. Kalau di rumah mungkin saya akan leka dan tidak boleh menumpukan perhatian untuk belajar," katanya. –Bernama