Rumah Roshina yang musnah dalam kejadian kebakaran pada penghujung Januari lalu. |
TELUK KUMBAR - Sekumpulan penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif dengan menggunakan laman sosial Facebook untuk mengumpulkan derma bagi membantu seorang ibu tunggal dan bayinya yang terlibat dalam kejadian kebakaran di Kampung Nelayan, di sini, Januari lalu.
Ketua Jabatan Inovasi dan Keusahawanan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM), Haja Mydin Abdul Kuthoos berkata, usaha untuk membuat kutipan itu dikongsi melalui Facebook dan kumpulan yang terdapat dalam aplikasi WhatsApp.
“Alhamdulillah kami berjaya buat kutipan dan ada pelajar serta kakitangan yang berikan bantuan dan sumbangan termasuk barangan dan wang tunai untuk diserahkan kepada mangsa.
“Sumbangan ini dihulurkan atas niat untuk meringankan beban keluarga ini, dengan harapan usaha kecil ini dapat membantu mereka yang sangat memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan kepada Roshina Abd Latif, 24, yang kehilangan suami, Nazri Zainal Abidin, 29 dan anak tunggalnya, Damia ‘Ulayya Salsabila baru berusia tiga bulan di kediaman mereka.
Haja berkata, penuntut USM bersama Persatuan Kebajikan Sosial Malaysia bersatu hati membantu ibu muda berkenaan yang turut kerugian kerana hampir 98 peratus kediamannya musnah dalam kebakaran tersebut.
Menurutnya, penuntut USM perlu membantu masyarakat sebagai tanda keprihatinan terutamanya mereka yang memerlukannya.
“Kami akan sentiasa peka dengan masyarakat sekitar, ia bukan sahaja mendidik mahasiswa sayangkan masyarakat, tetapi mendidik nilai murni,” katanya.
Sumber: Sinar Harian