PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia merancang untuk mewujudkan satu peta hala tuju yang lebih konkrit untuk menangani pembaziran makanan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Mengambil inspirasi daripada program ‘Fome Zero’ atau ‘Zero Hunger’ di Brazil, beliau berkata kerajaan bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk orang awam untuk merangka peta hala tuju itu selain ingin belajar dari negara lain mengenai pembasmian kemiskinan dan kelaparan.
“Kami percaya bahawa kerajaan yang bertanggungjawab tidak akan membiarkan seorang pun rakyatnya kelaparan, tidak kira betapa miskinnya mereka,” katanya ketika berucap pada Persidangan Serantau Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Asia dan Pasifik di sini semalam.
Ahmad Shabery berkata Malaysia telah membuat satu program jaringan keselamatan sosial sementara untuk membantu mereka yang menghadapi masalah kemiskinan dan kelaparan.
Beliau berkata pelbagai program telah dilaksanakan untuk meningkatkan taraf hidup golongan ini.
“Sebagai contoh, menerusi MyBeras, kerajaan akan menyediakan 20 kilogram beras setiap bulan kepada kira-kira 120,000 keluarga miskin tegar di negara ini, sebagai usaha untuk membasmi kemiskinan dan mengukuhkan keselamatan makanan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Shabery telah dilantik sebagai pengerusi sesi plenari hari ini, yang dicadangkan Menteri Pertanian, Makanan, Hutan dan Perikanan Tonga Semisi T. Fakahau dan disokong oleh Atase Pertanian dan Timbalan Wakil Tetap Filipina Cupino Lazaro Jr.
Sesi itu dijangka akan mengkaji dan mengesahkan laporan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Sesi Ke-33 Persidangan Serantau untuk Asia dan Pasifik.
Kira-kira 500 delegasi daripada 46 negara di rantau Asia dan Pasifik menghadiri persidangan lima hari itu yang bermula Isnin lepas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, yang memfokuskan kepada dasar nutrisi, menggiatkan semula ekonomi luar bandar dan pelaburan serta belia dalam pertanian masa depan. – BERNAMA