Pemuda PAS Sokong Penuh Pendirian Kerajaan BN

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
SHAH ALAM – Pemuda Pas menyokong pendirian kerajaan untuk menubuhkan sebuah kaukus Parlimen bagi meneliti dan menghapuskan segala amalan perjudian yang berlaku dalam negara.

Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, langkah itu boleh memastikan negara bersih daripada amalan perjudian yang meruntuhkan keharmonian kekeluargaan dan sistem sosial masyarakat.

“Isu perjudian menjadi perhatian utama perbincangan dalam sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini (semalam).

"Dalam sesi tersebut, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga menyatakan bahawa Kelantan seharusnya dijadikan contoh dalam menghapuskan segala bentuk perjudian di negeri tersebut.

"Langkah itu dikuatkuasakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 1992 dibawah pemerintahan Datuk Nik Abdul Aziz dan legasi itu diteruskan sehingga kini," katanya menerusi kenyataan, semalam.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa agar kaukus yang dibentuk meneliti aspek pendidikan dan perundangan sebagai pelengkap kepada langkah menghapuskan amalan perjudian.

“Di samping itu, ia dapat memupuk nilai kefahaman agama yang sebenar kepada masyarakat keseluruhannya,” katanya lagi.

Sumber: Sinar Harian