Penduduk Dakwa SADA Hantar Air Tapi Kadang Tong Tak Diisi

POKOK SENA - Penduduk Kampung Budi dan Kampung Bukit Sireh, Mukim Lesong, di sini merayu Syarikat Air Darul Aman (Sada) menghantar bekalan air selepas berdepan masalah itu sejak beberapa bulan lalu.

Penduduk, Mardiwati Puteh, 35, berkata, masalah air di kawasan itu bermula sejak dua bulan lalu menyebabkan penduduk berdepan pelbagai masalah.

Menurutnya, sebelum ini penduduk hanya mendapat bekalan air pada tengah malam sahaja tetapi kini mereka tidak dapat langsung.

"Walaupun Sada pernah hantar air, tapi kadang-kadang ada tong penduduk tak diisi. Kami terpaksa tunggu setiap kali lori air datang dan kalau tak tunggu, tong air kami tak akan diisi.

"Kami terpaksa tunggu sepanjang masa, masalahnya kami juga ada kerja lain yang perlu dibuat," katanya.
Mardiwati terpaksa menggunakan botol kosong untuk mengisi air minuman selepas Sada gagal membekalkan air kepada penduduk di Kampung Bukit Sireh sejak dua bulan lalu.
Mardiwati berkata, masalah itu juga menyebabkan urusan harian penduduk tergendala.

"Kami terpaksa beli air dekat kedai dan basuh baju di rumah saudara yang berdekatan," katanya.

Peniaga, Hasnah Murad, 53, dari Kampung Budi pula berkata, ketiadaan air itu juga menyebabkan aktiviti perniagaan makanannya terganggu.

Menurutnya, sudah tiga minggu penduduk tidak mendapat bekalan air.

"Sekarang saya terpaksa angkut air dari Kampung Pauh kira-kira lima kilometer untuk masak dan minum sebagai persediaan berniaga. Memang penat sebab perlu angkut air setiap malam menyebabkan kereta makin rosak kerana muatan yang berat.

"Masalah ini menyebabkan kami sekeluarga terpaksa gali semula telaga lama yang usang untuk guna semula walaupun airnya kemerahan. Air itu pula hanya guna untuk basuh baju dan pinggan mangkuk saja," katanya.

Hasnah berkata, masalah itu juga menyebabkan ibunya, Bedah Husin, 74, terpaksa bangun awal pagi untuk menggunakan air telaga bagi mengambil wuduk.

"Keadaan mak yang sudah tua untuk angkut air membimbangkan kami.

"Anak-anak juga terpaksa basahkan badan saja untuk ke sekolah. Ini pastinya kurang menyenangkan lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas sekarang," katanya.

Katanya, penduduk berasa hairan dengan masalah yang berlaku kerana difahamkan bekalan air di negeri ini mampu bertahan hingga dua tahun.

Sementara itu, Penolong Pengurus Jabatan Perkhidmatan Korporat Sada, Rofedi Sulaiman ketika dihubungi berkata, permintaan air yang tinggi di kampung bersebelahan sekarang ini menyebabkan Sada gagal untuk membekalkannya.

Bagaimanapun pihaknya sudah menetapkan jadual dengan menghantar dua hari sekali air ke kawasan berkenaan.

"Saya harap penduduk dapat menyediakan tong bagi menadah air," katanya.

Sumber: Sinar Harian