Penduduk Padang Terap Tagih Janji "Rubber City"

Gambar Hiasan
PADANG TERAP - Padang Terap terletak bersempadanan dengan Wilayah Selatan  Thailand dan merupakan kawasan pertanian terutamanya getah. Faktor bentuk muka bumi serta cuaca menjadikan ramai penduduk di situ terlibat dengan aktiviti getah sejak turun temurun lagi.

Kawasannya yang luas itu  menjadikan kerajaan negeri telah mengambil kesempatan  ini dengan menjadikannya Bandaraya Getah (Rubber City) seperti yang  diumumkan pada pilihanraya yang lalu.

Manifesto Barisan Nasional itu telah mendapat sambutan yang baik oleh penduduk di kawasan itu hinggalah pada Pilihanraya Umum ke-13 lalu , Barisan Nasional telah menyapu bersih kawasan Padang Terap.

Kejayaan itu menunjukkan rakyat di Padang Terap sangat mengalu-alukan projek berkenaan dan mereka juga dahagakan  pembangunan seperti di kawasan lain.

Mereka berharap projek itu akan membawa sinar  kehidupan baru terutamanya kepada generasi akan datang supaya keluar dari kepompong kemisikinan.

Di fahamkan Ladang Bukit Ketapang seluas 1,500 hektar telah dipilih bagi mewujudkan Bandaraya Getah itu dan ini secara tidak langsung penduduk di situ akan turut menerima tempias pembangunan jika ia menjadi kenyataan.


Penduduk, Ramlee Ismail,43, dari Kampung Baru Ladang berkata, penduduk alu-alukan hasrat kerajaan  wujudkan Bandar Getah itu di kawasan itu. Malah, ia rahmat apabila kawasan itu terpilih menjadi bandaraya itu.

Katanya, kewujudan projek itu di Padang Terap akan menjadi satu lagi mercu tanda kejayaan dan bukan sahaja di Padang Terap tetapi di Kedah juga. Ia akan menjadi kebanggaan kepada penduduk di situ kerana selama ini Padang Terap hanya sinonim dengan masalah kemiskinan sahaja.

“Kami mahu kehidupan  anak cucu kami akan terbela pada masa akan datang dan tidak lagi berada di  bawah garis kemiskinan yang membelenggu selama ini. Ramai belia di sini terpaksa berhijrah ke luar bagi mencari pekerjaan tetapi dengan projek mega ini diharap dapatlah mereka kekal di tanah warisan ini,” katanya.

Bagaimanapun sehingga kini selepas Barisan Nasional berjaya merampas Padang Terap dari pembangkang, belum ada lagi bibit-bibit Bandaraya Getah itu akan wujud di sekitar kawasan itu.

Katanya, penduduk di sini setiap hari sentiasa menunggu pembangunan di kawasan itu tetapi sehingga kini belum ada sebarang perubahan. Persoalannya ialah adakah manifesto itu selama ini merupakan gula-gula kepada penduduk.

 “Sudah hampir tiga tahun kami menunggu perubahan di kawasan ini yang dikatakan akan kewujudan Bandar  Getah itu tetapi sehingga kini belum ada sebarang perubahan. Kami tidak mahu pembangunan gula-gula seperti Hospital Pendang terjadi di daerah ini.

“Kini pilihanraya umum ke-14 nanti akan menjelang dua tahun lagi dan jika kerajaan gagal menunaikannya sudah pasti  memberi kekecewaan kepada penduduk sekali gus akan menjejaskan kepercayaan rakyat,” katanya.

Md Taib Abd Rahman,56, dari Kampung Panglima Hitam pula berkata, kewujudan Bandaraya Getah itu diharap akan membekalkan penawaran pekerjaan kepada penduduk di situ nanti.

Pembangunan yang dicadangkan itu bakal memberi nafas baru kepada pekebun kecil dan bukan sahaja kepada di daerah ini sahaja tetapi di seluruh Kedah.

Sumber: Sinar Harian