Pengganti Saya Mesti Pakar, Pengalaman Luas - Zeti Akhtar

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz
KUALA LUMPUR - Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata bakal penggantinya perlu memiliki kepakaran serta berpengetahuan luas dalam aspek bank dan persekitaran semasa.

"Sesiapa sahaja yang menyandang tugas itu perlu ada kepakaran.

"Kita berharap satu keputusan yang tepat (mengenainya) akan dibuat dan individu itu memiliki kelayakan tinggi serta mampu menggalas tugas dengan segera tanpa memerlukan tempoh lama mempelajari selok belok berkaitan.

"Keputusan itu dalam masa beberapa hari...ada lagi 38 hari, jadi anda perlulah bersabar," katanya pada sidang media sempena pengumuman mengenai  Laporan Tahunan BNM 2015 di sini, Rabu.

Beliau yang juga gabenor wanita pertama negara, menerajui BNM selama 16 tahun sebelum bersara pada April ini.

Zeti turut menyuarakan keyakinannya bahawa bank pusat itu akan terus berfungsi dengan baik selepas ketiadaannya kelak.

"Saya rasa, keseluruhan sistem serta aspek membuat dasar masih berfungsi. Malah, saya amat yakin ia akan berterusan berdasarkan apa yang menjadi kekuatan  BNM selama ini.

"Tiada alasan pun untuk meraguinya. Prospek masa depan juga menarik dan banyak kerja yang perlu dilakukan. Kita perlu membuat persiapan bagi cabaran masa depan," tegasnya.

Menurut Zeti, jawatankuasa tadbir urus BNM juga telah melaksanakan penilaian terperinci terhadap calon sesuai serta mengemukakan saranan kepada pihak kerajaan.

"Kita tidak menyatakan apa yang kami inginkan atau boleh mengulas apa yang dinilai jawatankuasa itu kerana ia adalah rahsia," katanya ketika ditanya sama ada bakal penggantinya itu adalah kalangan 'orang dalam' BNM sendiri.

"Semua persiapan sudahpun dibuat. Saya sendiri sudah merancang untuk menulis buku," katanya.

Ia sebagai jawapan kepada pertanyaan jika beliau ada membuat pertimbangan untuk terus menyambung khidmatnya bagi tempoh separuh penggal lagi.

Sumber: mStar