UMAT Islam sepatutnya mengelakkan diri daripada terperangkap dengan agensi pinjaman wang secara haram. Pelbagai kisah kekejaman agensi ini sering dipaparkan oleh akhbar, majalah dan Internet.
Mereka cukup aktif menarik perhatian mangsa dengan melekatkan iklan-iklan di bangunan dan pokok-pokok di kawasan perumahan. Iklan-iklan yang dipaparkan itu boleh mempengaruhi individu yang terdesak untuk mendapat wang.
Keadaan ekonomi yang tidak menentu dan harga barang yang tinggi memberi peluang yang baik kepada agensi pinjaman haram ini untuk mendapat mangsa kerana orang yang berada dalam keadaan terdesak akan berusaha untuk mendapatkan wang bagi keperluan kehidupan mereka. Ketika ini persoalan halal atau haram bukan dijadikan kayu ukuran dalam minda mereka.
Umat Islam dididik supaya mengimbangi akal fikiran dalam apa jua keadaan dengan berdasarkan hukum-hakam dalam Islam. Setiap perundangan Islam sama ada halal atau haram perlu dilihat sebagai corak kehidupan umat Islam.
Perkara atau kegiatan yang halal dan digalakkan oleh Islam adalah satu nilai kehidupan yang boleh menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Perkara atau aktiviti yang diharamkan oleh Islam pula adalah unsur yang boleh mendatangkan kemudaratan dan kecelakaan dalam kehidupan.
Umat Islam yang berpandukan kepada konsep hidup begini sentiasa berada dalam suasana tenang walaupun menghadapi kesukaran hidup.
Allah adalah Pencipta manusia dan alam. Setiap perkara berkaitan kehidupan manusia dan pergerakan alam adalah dalam kawalan Allah. Umat Islam diberi panduan oleh Allah dan Rasul bagaimana hendak mengendalikan kehidupan di dunia ini supaya menjadi umat yang mulia dan berjaya. Setiap perkara yang haram perlu dianggap sebagai unsur yang boleh mengakibatkan kecelakaan dan kesukaran dalam kehidupan.
Undang-undang Islam merangkumi setiap aspek kehidupan manusia termasuk ekonomi, sosial dan politik. Perkara berkaitan kewangan dan ekonomi atau muamalah, cara pengurusannya perlu berasaskan kepada kejujuran, ketelusan dan kemanusiaan. Penipuan, penindasan dan tidak berperikemanusiaan adalah diharamkan sama sekali.
Jika aktiviti perniagaan, pinjaman dan urusan kewangan melampaui batasan hukum-hakam Allah sehingga berlaku penindasan dan kekejaman maka kegiatan tersebut akan dilaknati oleh Allah dan keuntungan yang diperoleh tidak akan berkekalan kerana tidak diberkati oleh-Nya.
Umat Islam dicegah meminjam wang daripada individu yang gemar menerima riba kerana kegiatan tersebut memberi kecelakaan kepada kehidupan manusia. Dalam urusan pinjaman di antara orang yang memberi pinjaman dan memohon pinjaman perlu berdasarkan kepada peraturan pinjaman yang digariskan oleh Allah supaya kedua-dua pihak berpuas hati dan tidak menganiayai di antara satu sama lain.
Orang yang memberi pinjaman tidak boleh mengenakan riba kepada rakan yang meminjam wang. Orang yang meminjam wang perlu berusaha untuk membayar hutang apabila tempoh berhutang sudah tamat.
Jika terdapat kesulitan untuk membayarnya dalam tempoh yang ditentukan maka kedua-dua pihak perlu berbincang secara baik supaya orang yang memberi pinjaman dapat memahami kesulitan yang dihadapi.
Orang yang berhutang digalakkan memberi hadiah kepada orang yang memberi hutang jika hutang yang dilakukan itu memberi keuntungan dalam perniagaan dan seumpamanya. Sikap begini boleh menyuburkan perasaan persahabatan sesama umat Islam dalam melaksanakan konsep al-ta’awwun ‘ala al-bir (tolong-menolong dalam kebaikan).
Orang yang kaya dan mewah jika menghulurkan pinjaman kepada rakan yang amat memerlukan kewangan adalah satu amalan yang paling mulia di sisi Allah. Kerelaan untuk membantu orang yang berada dalam kesukaran dan desakan hidup itu dianggap sebagai sedekah yang paling tinggi nilainya di hari akhirat.
Perkara ini disebut oleh Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 276 yang bermaksud:
“Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran dan selalu berbuat dosa.”
Mengenakan riba dalam pinjaman kewangan seperti dilakukan oleh agensi pinjaman wang haram adalah dosa besar dan diharamkan oleh Allah kepada manusia. Perbuatan mengenakan riba berlipat kali ganda sehingga melebihi jumlah wang yang dipinjam oleh peminjam adalah perbuatan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Orang yang memberi pinjaman wang yang mengaut keuntungan secara mengenakan riba adalah orang yang menindas manusia demi keuntungan diri.
Setiap orang yang bekerjasama dengan pemberi pinjaman begini dianggap sebagai orang yang mendapat wang secara batil atau haram. Mereka tidak terlepas daripada seksaan Allah.
Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran, Surah an-Nisa’ ayat 161 yang bermaksud;
“Dan disebabkan kerana mereka memakan riba, pada hal sesungguhnya mereka telah dilarang daripadanya, dan kerana mereka memakan harta orang dengan jalan yang batil Kami telah menyediakan untuk orang-orang kafir di antara mereka itu seksa yang pedih.”
Orang yang meminjam wang adalah orang yang berada dalam keadaan terdesak dan kesukaran hidup maka ketika ini orang yang diberi rezeki oleh Allah sepatutnya menghulurkan pertolongan bukannya menindas dan menganiayai sesama insan.
Kutukan Allah terhadap kegiatan sebegini dijelaskan di dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud;
“Orang yang memakan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran tekanan penyakit jiwa (gila). Keadaan mereka yang demikian itu disebabkan mereka berkata (berpendapat) sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba padahal Allah SWT telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”
Apabila Allah mengharamkan sistem pinjaman wang seperti ini maka umat Islam terselamat daripada kancah kehancuran. Allah menyeru umat Islam supaya berurusan dengan kewangan secara halal dan diberkati sepertimana firman-Nya dalam Surah al-Imran ayat 130 yang bermaksud;
“Wahai orang beriman janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keuntungan.’’
*PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN berkhidmat di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)/Utusan