MASYARAKAT Islam mutakhir ini berhadapan cabaran getir. Ketinggalan dalam banyak bidang kemajuan dunia, bahkan sekarang ini ketara dengan pertelingkahan sesama sendiri. Umat Islam seolah-olah berprasangka, menuduh dan menempelak satu sama lain.
Di pentas antarabangsa, bumi Syria dan Yemen terus menumpahkan darah. Terbaharu, pertelingkahan antara Iran dan Arab Saudi. Hal seperti ini membuatkan kita tertanya-tanya, di manakah persaudaraan, nilai kasih sayang dan kedamaian yang dianjurkan Islam?
Sebelumnya berlaku pertelingkahan di beberapa negara lain seperti Mesir, Libya, Tunisia, Afghanistan dan Somalia.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan kira-kira 400,000 orang kebuluran di luar Kota Damsyik. Kumpulan bersenjata terus berusaha menggempur Damsyik tetapi yang menjadi mangsa adalah orang awam.
Dianggarkan lebih 2.5 juta kanak-kanak di Syria tidak bersekolah manakala di Yemen dianggarkan 1.5 juta tidak bersekolah. Ini adalah malapetaka besar.
Amat dikhuatiri semua pihak yang bersengketa termasuk pihak yang membunuh dan yang terbunuh kedua-duanya akan masuk neraka sebagaimana disabdakan oleh Nabi SAW yang bermaksud :
“Apabila dua orang Muslim berbunuh-bunuhan dengan pedang, maka pihak yang membunuh dan yang terbunuh kedua-duanya masuk neraka. Abu Bakrah bertanya : Wahai Rasulullah, orang yang membunuh memanglah masuk neraka tetapi bagaimana orang yang terbunuh pun masuk neraka? Jawab baginda : kerana ia berniat dengan bersungguh-sungguh hendak membunuh lawannya,” - Riwayat Bukhari.
MAKSIMUMKAN KEINDAHAN ISLAM
Keindahan dan kelembutan Islam perlu dijelaskan. Melihat kepada persekitaran kemasyarakatan hari ini, perpaduan sesama Muslim perlu diperkuatkan dan tidak perlu ditangguhkan lagi.
Jangan besarkan perbezaan perkara kecil, sebaliknya tekankan kepada perkara prinsip secara bersama. Perpaduan dan kesatuan inilah yang ditunggu-tunggu umat Islam dewasa ini. Allah SWT berfirman maksudnya :
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolong membuat kebajikan dan takwa,” (Surah al-Maidah : 2)
Berdakwah dan berinteraksi dengan lembut adalah selari dengan ajaran al-Quran, sebagai Allah SWT memerintahkan Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. berdakwah kepada Firaun yang mengaku dirinya Tuhan, mereka diminta mengucapkan perkataan dengan lembut sebagaimana Firman-Nya bermaksud:
“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian, hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, semoga dia beringat atau takut,” (Surah Taha : 43 dan 44).
Rasulullah SAW sendiri ketika berdakwah di Taif, sekalipun dilontar dengan batu, baginda SAW masih berdoa agar mereka diberikan petunjuk kerana mereka adalah kaum yang tidak mengetahui, sebagaimana baginda SAW merakamkan situasi ini, mafhumnya :
“Ya Allah, berilah petunjuk atas kaumku kerana sesungguhnya mereka belum mengetahui,” - Riwayat Bukhari.
Ukhuwwah perlu dikekalkan dan disebarkan oleh semua pihak. Usah terlalu fanatik. Kita perlu membudayakan panggilan antara satu sama lain sebagai ‘ ini saudara saya ‘ dan ‘ ini orang kita ‘ sebab mereka orang Islam dan Melayu tanpa mengira fahaman mahu pun ideologi politik.
Inilah satu pilihan yang signifikan untuk mendekatkan jurang sesama.
Dalam isu agama khususnya, semua pihak sesama Muslim boleh berpakat. Kita hendak lihat ukhuwwah umat Islam ini sebagaimana ukhuwwah Muhajirin dan Ansar, Aus dan Khazraj di Madinah pada zaman Nabi SAW. Inilah Muslim.
Sumber: Utusan