Perlu Buang Sikap Prejudis Terhadap Produk IKS

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman
KUANTAN – Pengguna di negara ini digesa membuang sikap prejudis terhadap kualiti produk keluaran usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dalam usaha menyokong penuh barangan tempatan berbanding import.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata ini kerana kebanyakan produk IKS sudah setanding dengan keluaran antarabangsa dari segi kualiti dan pembungkusan.

“Produk keluaran IKS semuanya diperakui halal oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) termasuk minuman herba…semua ada kelulusan daripada KKM (Kementerian Kesihatan) untuk memastikan selamat kepada pengguna.

“Jadi, pengguna tidak perlu was-was untuk membeli barangan keluaran IKS,” katanya kepada pemberita selepas melawat gerai jualan Karnival Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Wilayah Timur 2016 di sini, Ahad.

Selain itu, Tajuddin berkata sijil halal dikeluarkan JAKIM sudah diiktiraf di seluruh dunia, sekali gus membuktikan semua produk IKS sangat berkualiti untuk pengguna.

Mengenai karnival itu, Tajuddin berkata ia sebagai inisiatif membantu usahawan IKS di bawah kementerian itu bagi mempromosikan produk mereka kepada orang ramai dan komuniti perniagaan lain.

Beliau berkata setakat ini, terdapat seramai 11,200 usahawan IKS di seluruh negara yang berdaftar dengan kementerian berkenaan. – BERNAMA