Perlu Perbetulkan Persepsi Salah Mengenai Negara Kita

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
RIYADH – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat Malaysia di luar negara supaya memainkan peranan masing-masing untuk memelihara nama baik Malaysia di mata dunia.

“Anda mewakili Malaysia melalui peranan masing-masing. Anda perlu berkongsi pengetahuan anda tentang Malaysia dan membantu menangkis persepsi salah mengenai negara kita,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap kepada sekumpulan profesional dan pelajar Malaysia di sini pada Rabu malam bersempena lawatan kerja beliau ke Arab Saudi.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang menganggotai kumpulan militan Daesh, walaupun kecil bilangannya, menjejaskan nama baik negara dan tindakan mereka pula mencemarkan imej Islam.

Sehubungan itu, kata beliau, “perlu ditunjukkan bahawa Islam adalah agama yang menghargai keamanan serta mengajar pengikutnya supaya bersikap sederhana dan seimbang dalam semua aspek kehidupan”.

Najib juga menerangkan kepada hadirin cabaran yang dihadapi Malaysia berikutan kejatuhan harga minyak dan kemelesetan ekonomi China.

“Itulah sebabnya kita perlu mencari peluang baharu atau tambahan dan sejajar dengan itu, kita perlu meningkatkan lagi hubungan dengan negara lain, termasuk Arab Saudi.

“Inilah juga sebab utama saya melakukan lawatan kerja ke negara ini, yang terus berkembang dari segi kepentingannya dalam pelbagai aspek,” kata beliau.

Mengenai kehadiran ramai rakyat Malaysia di Arab saudi, Najib berkata ia menjadi bukti tentang kejayaan Malaysia dalam memajukan modal insannya.

“Dan profesional kita dipandang tinggi di peringkat antarabangsa,” kata beliau.- BERNAMA