PKR Tengah Fikir Nak Sertai Blok Ketiga Atau Tidak


KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat tidak membidas sikap dwi-standard Pas terhadap sekutu baharunya, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) untuk menangguhkan sementara pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagaimanapun berkata, terpulang kepada Pas untuk membuat pendirian berbeza berbanding ketika bersama PR sebelum ini.

"Itu hak dia, nak kata macam tu..(menangguhkan hudud)," katanya kepada pemberita dalam sidang media di bangunan Parlimen, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Ikatan pada Selasa bahawa isu hudud tidak akan menjadi isu besar di antara gabungan Pas-Ikatan dalam membentuk blok pembangkang ketiga itu.

Katanya, walaupun bergabung dengan Pas, mereka sependapat bahawa hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia.

Wan Azizah juga berkata, PKR tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan kerjasama politik dengan blok pembangkang ketiga itu jika hala tuju baharu itu dipersetujui bersama.

"Kita sama-sama hendak menentang kezaliman yang berlaku dalam kerajaan sekarang, jadi apa yang kita buat sekarang adalah untuk negara dan untuk rakyat.

"Kalau mereka ada kesamaan, boleh bekerjasama tetapi format itu saya kira perlu bincang bersama," ujarnya.

Ditanya tentang pembentukan blok pembangkang ketiga itu cuba menggugat Pakatan Harapan, Wan Azizah bagaimanapun berkata, pihaknya akan menunggu perkembangan semasa.

"Tunggu dan lihat," katanya lagi dengan ringkas.