PKR Tuduh PDRM Sebagai "Samseng Berlesen"

Setiausaha Pengelola PKR Pulau Pinang, Lee Khai Loon
KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang menuduh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai samseng berlesen kerana menurunkan tiga buah papan iklan Bebas Anwar di negeri Selangor.

Setiausaha Pengelola PKR Pulau Pinang, Lee Khai Loon berkata, samseng berlesen berkenaan kini menjadi alat politik pihak tertentu dalam negara.

“Tindakan polis tersebut tidak professional malahan seolah-olah sama dengan samseng yang berlesen.

“Papan iklan yang telah mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diturunkan oleh pihak polis dengan sekelip mata sahaja,” dakwanya dalam satu kenyataan media semalam.

Papan iklan gergasi Bebas Anwar di pasang oleh PBT di sekitar Selangor yang ditadbir oleh PKR sejak beberapa bulan lalu.

Ia bertujuan menghasut pemikiran orang ramai kononnya bekas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihukum penjara selama lima tahun tidak bersalah.

Papan iklan itu juga bertujuan mendorong persepsi negatif orang ramai ke atas sistem perundangan dan kehakiman negara.

Anwar yang juga bekas Ketua Pembangkang dihukum penjara selepas didapati salah meliwat seorang lelaki lain iaitu pembantu peribadinya.

Khai Loon mendakwa, tindakan PDRM menurunkan iklan itu merupakan campur tangan bidang kuasa PBT dalam proses kelulusan dan penguatkuasaan papan iklan.

Dakwanya, insiden tersebut juga menunjukkan kuasa polis yang terlalu besar sehingga Ketua Polis Negara boleh mengambil tindakan dengan sesuka hati.

Beliau memberi peringatan kepada PDRM bahawa pihak asing telah menyifatkan pemenjaraan Anwar melanggar undang-undang antarabangsa dan mendesak beliau dibebaskan segera.

“Segala hukuman yang dikenakan ke atas Anwar adalah tidak adil dan zalim. Kerajaan Malaysia perlu bebaskan Anwar dengan segera agar,” dakwanya. – Kedahnews.com