Punan Bah, Long Urun Di Tebingan Rajang Dilanda Banjir

Keadaan banjir membabitkan rumah-rumah di Punan Bah di tebingan Batang Rajang di Belaga berikutan paras air sungai naik akibat hujan sejak Isnin. - Foto BERNAMA
KUCHING – Dua penempatan di tebingan Batang Rajang dekat Belaga, dilanda banjir semalam berikutan hujan lebat sejak Isnin.

Anggota Dewan Undangan Belaga, Liwan Lagang berkata keadaan itu berlaku berikutan paras air sungai Batang Rajang meningkat dan melimpahi tebing.

“Dua penempatan yang terjejas ialah Punan Bah di bahagian hilir Pekan Belaga dan Long Urun di bahagian hulu Sungai Belaga,” katanya ketika dihubungi.

Liwan yang juga Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Sarawak berkata, di Punan Bah seramai 20 penduduk daripada lima keluarga berpindah ke rumah saudara terdekat, manakala di Long Urun tiada pemindahan mangsa dilakukan setakat ini.

Menurutnya pagi tadi, beliau melawat kedua-dua penempatan berkenaan untuk meninjau keadaan terkini serta menghantar bekalan makanan.

“Banjir di Punan Bah berada tahap sederhana. Tiada pusat pemindahan dibuka namun Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah menghantar bantuan makanan kepada penduduk di Punan Bah,” katanya. – BERNAMA