Raja Farah Mudah "Touching" Sejak Hamil, Suami Pandai Ambil Hati

Sumber IG: @rajafarahraziz
TERDAHULU Raja Farah pernah dicela orang ramai kerana konon dikatakan tidak boleh mengandung atau mandul, namun Allah Maha berkuasa.

Ini kerana Maha Esa mengurniakan khabar gembira kepada dia dan suami setelah pulang dari mengerjakan umrah di Tanah Suci pada Disember tahun lalu.

Raja Farah atau nama sebenarnya Raja Farah Raja Aziz, 28, kini sedang hamil hampir 5 bulan, bagaimanapun merasai perubahan dalam dirinya terutama dari segi emosi.

Ini apabila dia dikatakan mudah terasa hati hingga suaminya, Iskandar Ismail, 34, cukup berhati-hati setiap kali mereka berbual.

Walaupun kandungannya mencecah lima bulan, dia bersyukur kerana tidak mengalami alahan yang teruk seperti kebanyakan wanita lain.


“Sudah hampir lima bulan kandungan ini, syukur saya tidak mempunyai sebarang alahan. Cuma saya mudah penat, selain mengalami perubahan emosi yang ketara. Saya mudah sensitif dan senang menangis.

“Suami pula risau jika mahu menegur sesuatu perkara kerana saya mudah sensitif. Alhamdulillah, dia bijak mengambil hati supaya saya tidak mudah terguris hati,” katanya kepada sebuah portal akhbar online.

Raja Farah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Megat Bashirun Qhuyum Zakaria pada 2010 namun bercerai pada 25 Mei tahun lepas.

Dia mengahwini Iskandar pada 6 September lalu di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.


Ia adalah perkahwinan kedua pelakon kelahiran ibu kota itu yang dikenali menerusi filem Apa Kata Hati, Anak Halal, Maut dan Aku Masih Dara.

“Saya pernah melalui tempoh kesedihan selepas bercerai pada tahun lalu. Namun, tiga bulan selepas itu, kebahagiaan kembali dirasai.

“Saya berkahwin dengan Iskandar, seterusnya bersama-sama menunaikan ibadah umrah, saya dikhabarkan dengan berita gembira apabila disahkan hamil sejurus pulang dari Makkah,” ujarnya kepada sebuah portal hiburan. –Kedahnews.com