Rakyat Makin Hilang Rasa Hormat Terhadap Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad
TIKAM BATU - Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang bersekongkol dengan pembangkang dalam perjuangkan Deklarasi Rakyat akan menyebabkan rakyat hilang hormat terhadap beliau sebagai negarawan.

Timbalan Pengerusi II Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam), Datuk Mustafa Idrus berkata, sikap Mahathir juga menunjukkan ketidakmatangan beliau dalam berpolitik.

Katanya, tindakan terbabit mampu merosakkan nama Malaysia di mata dunia sekaligus mencemarkan imej negara.

“Sebagai rakyat ,saya berasa malu dengan tindakan beliau yang menyertai pembangkang yang diketahui mempunyai agenda utama ingin memerintah negara ini.

“Di mana pendirian Tun M kerana sebelum ini beliau menyangkal apa yang dilakukan pembangkang tetapi kini sama-sama menyertai mereka seolah-olah beliau sudah nyanyuk. Apa yang dilakukan hari ini dilihat mempunyai kepentingan sendiri dan agenda tertentu.

“Saya rasa ini tidak menunjukkan kematangannya sebagai negarawan yang telah memerintah negara selama 22 tahun,” katanya ketika hadir merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru kali ke-39 di Sekolah Kebangsaan Darulaman, Tikam Batu kelmarin.

Katanya, Mahathir sendiri telah merosakkan apa yang telah beliau bina sepanjang pemerintahannya dalam tempoh yang panjang itu.     

“Sepatutnya, Tun M perlu selesaikan sendiri masalah yang berlaku antara beliau dengan Datuk Seri Najib tanpa melibatkan pelbagai pihak sehingga memecah-belahkan bangsa dan parti sendiri,” katanya.

Sumber: Sinar Harian