Ramona Mahu "Manja-Manja" Dengan Suami, Belum Mahu Anak


Pelakon berdarah campuran, Ramona Zamzam atau dan suami mengaku bahawa mereka masih belum bersedia untuk menerima cahaya mata dalam masa yang terdekat.

Ramona atau nama sebenarnya, Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam, 26, dan suami Rami Alashkar,27, yang bakal meraikan ulang tahun pertama perkahwinan mereka pada 1Mei depan masih mahu meluangkan masa bersama-sama memandangkan sebelum ini mereka sibuk dengan komitmen masing-masing.

Menurut pelakon drama bersiri ‘Anakku Diva’ ini kepada satu portal hiburan, walaupun usia perkahwinan mereka sudah hampir setahun, tetapi seolah-olah baru di alam percintaan dan masih banyak yang beliau ingin terokai dan kenali tentang suaminya yang tercinta.

"Alhamdulillah, selepas berkahwin Ramona rasa seronok. Rasa masih dalam musim percintaan walaupun sudah hampir setahun kahwin. Rasa belum puas bercinta dengan suami. Masih banyak yang Ramona ingin tahu tentang suami.

"Kami masih dalam proses saling mengenali. Ramona masih mahu bermanja-manja dengan suami. Mahu dia berikan sepenuh perhatian kepada Ramona. Apabila ada waktu terluang, Ramona mahu keluar berdua-duaan dengan dia,” katanya.

Katanya, Rami menghormati kehendaknya untuk tidak mempunyai anak dalam masa terdekat, namun tidak menolak seandainya mereka dikurniakan anak lebih awal dari jangkaan masa yang di rancangkan iaitu selepas dua tahun.

"Perkara-perkara ini membuatkan Ramona mahu menangguhkan hasrat untuk menimang cahaya mata. Suami pun memahami dan dia tidak mempunyai isu tentang perkara ini. Mungkin selepas dua tahun usia perkahwinan, kami akan mula merancang untuk dapatkan anak.

"Bagaimanapun, jika sebelum tempoh itu sampai saya didapati hamil, kami tidak akan menolak. Itu rezeki daripada Allah,” ujar Ramona kepada portal tersebut.

Pemenang tempat keempat pertandingan Dewi Remaja seangkatan dengan Neelofa, Izara Aishah dan Anzalna Nasir ini turut mengkhabarkan kepada portal tersebut bahawa beliau telah merancang untuk pergi berbulan madu kali kedua ke Eropah.

Jelasnya, tiket penerbangan ke Switzerland untuk bulan madu kedua itu sudah pun dibeli.

Semoga pasangan ini bergembira ketika berbulan madu dan kami doakan yang terbaik untuk mereka. -Kedahnews.com