Ratusan Pesawah Di Dun Mukhriz Berhimpun Tuntut Kekal Potongan Padi

Ratusan petani menuntut potongan hasil padi sebanyak 17 peratus, kelmarin
AYER HITAM - Ratusan pesawah Kedah dan Perlis menuntut kadar potongan hasil padi dikekalkan kepada 17 peratus.

Wakil pesawah, Che Ani Mat Zain berkata, pengekalan kadar potongan itu mampu meningkatkan pendapatan mereka.

“Selepas kerajaan umum kenaikan subsidi padi sebanyak RM50, tiba-tiba kadar potongan hasil padi juga naik antara 20 hingga 27 peratus.

“Ini tidak patut berlaku, kami mahu kadar potongan hasil padi kekal sebanyak 17 peratus,” katanya semasa ucapan di Himpunan Pesawah dekat Dataran Kerpan, di sini, kelmarin.

Katanya, kenaikan kadar potongan hasil padi lebih 20 peratus menyebabkan petani rugi sebanyak RM2,200 semusim.

“Sekarang kita hadapi  masalah kenaikan harga barang, tambah pula dengan bebanan GST.

“Sedangkan purata pendapatan bulanan pesawah sekitar RM1,200 sahaja. Kita bukan minta RM2.6 bilion pun,” katanya.

Che Ani mengharapkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dapat mengambil perhatian dalam permasalahan tersebut.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi menggesa kerajaan dapat kekalkan kadar potongan hasil padi sebanyak 17 peratus.

“Sekarang ini petani ditekan dengan keadaan ekonomi yang begitu teruk. kita harap kerajaan dapat dengar rintihan petani ini,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Kongres Rakyat Kedah, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, maruah petani berada di hujung rambut jika kerajaan tidak membela nasib mereka.

Sumber: Sinar Harian