Bapa saudara mangsa, Ahmad Sabri Ishak, 50, cuba mencari barang yang boleh diselamatkan dalam kebakaran itu. |
ALOR SETAR - Seorang remaja perempuan melecur kira-kira 30 peratus dalam kejadian kebakaran di Lorong Seri, Mukim Derga, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa, Nur Fatihah Mohd Sabri, 19, yang juga penuntut di Universiti Kuala Lumpur (UniK) melecur di muka.
Emak saudara mangsa, Noor Sharini Hamzah, 35, berkata, Nur Fatihah yang tidur di bilik tengah merupakan orang pertama menyedari berlaku kebakaran.
Menurutnya, mangsa segera memaklumkan kejadian itu kepada ibunya, Norlizawati Hamzah, dan bapa, Mohd Sabri Majid, 47, yang tidur di bilik lain.
"Mangsa cedera ketika cuba memaklumkan ibu bapanya yang berada di bilik lain.
"Kakaknya yang terjaga dari tidur terus letakkan Fatihah dekat peti ais, kemudian kejutkan dua lagi anak yang masih tidur di bilik lain," ujarnya.
Shahrini berkata, anak saudaranya itu terpaksa dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat melecur dan tersedut asap kebakaran.
Tambahnya, keluarga kakaknya hanya sempat menyelamatkan wang tunai kira-kira RM200 yang disimpan dalam periuk nasi dan beberapa barang kemas.
“Mereka kini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah, perkakas kediaman dan dua kereta digunakan untuk berniaga hangus dijilat api.
“Malah, duit simpanan dipercayai untuk pelbagai kegunaan termasuklah wang persediaan Fatihah untuk menyambung belajar di Rusia dalam bidang kejuruteraan turut hangus dijilat api,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, mereka menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.02 pagi.
Menurutnya, tiga jentera dan 26 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar dan Jalan Raja bergegas ke lokasi kejadian lebih kurang enam minit kemudian.
Katanya, siasatan awal mendapati sebuah rumah kelas A terbakar, manakala seorang remaja perempuan melecur sebelum dia dihantar ke HSB untuk rawatan lanjut.
"Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dapat mengawal api sepenuhnya pada jam 4.16 pagi," katanya.
Sumber: Sinar Harian