RM1 Bilion Untuk Pertingkat Keselamatan Sempadan Negara

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menerima tujuh cadangan berhubung penggunaan aset sama ada berbentuk teknologi dan pembinaan atau kombinasi kedua-duanya bagi mempertingkatkan aspek keselamatan di sempadan utara Semenanjung, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, cadangan itu yang membabitkan perbelanjaan yang besar itu akan diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), sebuah agensi di bawah kementeriannya untuk diteliti sebelum dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Perlu dikaji adakah untuk menjadi aset kekal, aset teknologi atau kombinasi kedua-duanya.

Apakah bentuk pembiayaan yang akan digunakan kerana ia membabitkan kos yang cukup tinggi,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan menjangkakan sekurang-kurangnya RM1 bilion diperlukan bagi menyediakan kemudahan untuk mengawal keselamatan sempadan di utara Semenanjung saja.

Untuk itu, katanya, EPU dan Kementerian Kewangan perlu merangka mekanisme pembayaran untuk projek berkenaan, sama ada secara bayaran tertangguh atau meneliti kaedah lain, termasuk membabitkan perkongsian pihak swasta dan awam.

“Kita berharap projek mempertingkatkan keselamatan di sempadan negara ini dapat dilaksanakan seberapa segera,” katanya sambil menambah, pendekatan yang sama akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak selepas ini.

Sumber: Berita Harian