Salah Guna Pas Sosial, 5 Wanita Thai Didenda RM800 Seorang


KANGAR – Lima wanita warga Thailand didenda RM800 seorang oleh Mahkamah Majistret Kangar hari ini kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di sebuah rumah urut di sini, pada Mac lepas.

Majistret Mohd Izmi Ibrahim memerintahkan mereka dihukum penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Kelima-lima ibu tunggal berumur antara 26 hingga 40 tahun itu mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah kepada mereka.

Mereka memasuki negara ini sejak awal tahun ini dan ditahan Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah Polis Perlis dalam ‘Ops Noda’ di Pusat Refleksi Satu, Taman Gembira di sini pada 5.50 petang, 4 Mac lepas.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Akta Imigresen 1963, Peraturan 39(b) dan boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Parma Chandraverah mengendalikan pendakwaan manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA