"Salam Damai" Bashah Disambut Caci Maki Penyokong "Budiman" Di FB KFA

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebulat suara dilantik sebagai Presiden KFA semalam
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berbesar hati dan merancang untuk bertemu dengan kelab-kelab serta penyokong pasukan Kedah sebagai langkah bersatu demi kecemerlangan skuad Helang Merah.

Ahmad Bashas berkata, pihak KFA sedang merancang pertemuannya dengan kelab-kelab penyokong pasukan bola sepak Kedah itu dalam masa terdekat.

"Sekarang ni pihak pengurusan sedang merancang untuk berjumpa dengan mereka (kelab dan penyokong Kedah) untuk meminta terus bersama beri sokongan.

"Dan insyaAllah saya yakin, kita boleh.. itu pun kehendak penyokong-penyokong.. jadi insyaAllah kita akan berjumpa dalam sedikit masa ni.." katanya dalam sidang akhbar Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) KFA semalam.

Kenyataan Ahmad Bashah itu juga mengesahkan "salam damai" yang dihulurkan kepada para penyokong pasukan Kedah sebagaimana yang dilapor Kedahnews.com sebelum ini.

EGM KFA semalam sebulat suara memutuskan untuk melantik Ahmad Bashah sebagai Presiden KFA berkuatkuasa serta merta, meneruskan tradisi negeri untuk melantik Menteri Besar Kedah sebagai Presiden persatuan itu.

Kata Ahmad Bashah lagi, para penyokong skuad Helang Merah amat penting bagi memastikan pasukan kebanggaan rakyat Kedah itu untuk terus mencipta kemenangan demi kemenangan pada masa yang akan datang.

Bagaimanapun, laman Facebook KFA yang menyiarkan sidang akhbar itu semalam dihujani dengan ratusan sindiran, caci maki dan kata-kata nista terhadap Ahmad Bashah, serta menghina Menteri Besar itu dengan pelbagai kecaman.


Sidang media bersama YAB Presiden KFA, Dato' Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah.
Posted by Kedah FA - Persatuan Bolasepak Kedah - on Thursday, March 24, 2016

Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebelum ini difahamkan telah memperguna Stadium Darul Aman bagi meraih sokongan dari para penyokong Helang Merah bagi tujuan politik dan menyelamatkan diri dari kehilangan jawatan Menteri Besar Kedah.

Namun begitu, Jemaah Pemangku Sultan Kedah dalam titahnya memutuskan majoriti ADUN Kedah hilang kepercayaan terhadap Mukhriz dan menyebabkan anak bekas Perdana Menteri itu perlu meletak jawatan.

Sementara itu, turut difahamkan bahawa para penyokong pasukan Helang Merah dikatakan tidak menyedari tentang minda mereka telah dimanipulasi dan dipergunakan bagi tujuan politik Mukhriz yang sedang dihujung tanduk ketika itu, sekaligus menyebabkan Ahmad Bashah menjadi mangsa kebencian mereka.

Untuk rekod, pasukan Kedah telah berjaya menjadi juara "treble" di zaman pentadbiran PAS di bawah Allahyarham Tan Sri Azizan Razak, menandakan perubahan politik tidak memberi kesan signifikan terhadap kecemerlangan pasukan Helang Merah itu. -Kedahnews.com