Sebanyak 7 Kes Samun Dilapor Di Kota Kuala Muda Semalam

SUNGAI PETANI - Tujuh kes samun dan cubaan samun yang menyasarkan wanita dan suri rumah dilaporkan berlaku di sekitar daerah Kuala Muda semalam, dipercayai dilakukan kumpulan yang sama.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, ketujuh-tujuh kes itu yang berlaku antara jam 9 hingga 11 pagi tadi dilakukan empat lelaki bersenjata parang serta menaiki motosikal.

Antara lokasi kes itu ialah di Taman Sejati Indah, Bandar Mutiara, Taman Cendana, Taman Sri Tanjung, Taman Desa Enggang, Bandar Amanjaya dan Persiaran Amanjaya, Bedong.

Dalam kejadian itu dua wanita dilaporkan cedera ringan.

Md Zukir berkata polis masih lagi memburu keempat-empat lelaki itu dan meminta penduduk di Kuala Muda terutama golongan wanita dan suri rumah agar lebih berhati-hati ketika keluar rumah.

"Kaum ibu yang pulang daripada kerja atau pergi ke pasar jangan sesekali dedahkan beg tangan atau pakai barang kemas kerana kumpulan ini amat berbahaya dan tidak teragak-agak untuk menyerang," katanya. - Bernama