Semua Pihak Perlu Perkasa Tulisan Jawi Di Setiap Aktiviti

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (tengah) mendengar penerangan Ketua Unit Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia, Mohd Kamal Shahuruddin (kanan) ketika melihat cara-cara baikpulih dan penjagaan buku jawi lama ketika melawat pameran selepas merasmikan Penutup Seminar Antarabangsa Tulisan Jawi 2016 di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) semalam.
KUANTAN – Semua pihak merangkumi jabatan kerajaan, swasta, badan berkanun dan majlis daerah di negeri ini diminta memperkasakan penggunaan tulisan Jawi menerusi setiap aktiviti yang dilakukan.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah kerajaan negeri juga diminta memperkenal kembali tulisan Jawi secara berperingkat dalam urusan pentadbiran bagi mengembalikan kegemilangan tulisan berkenaan.

Baginda bertitah antara langkah lain yang boleh dilakukan ialah menggunakan tulisan Jawi di papan tanda, premis jualan dan papan tanda arah selain menyelaraskan ejaan jawi.

“Kementerian Pendidikan juga diharap dapat lebih ke hadapan untuk memainkan peranan supaya tulisan Jawi dapat dipertingkat penggunaannya di sekolah dan dalam kalangan masyarakat.

“Apabila terlaksana hasrat ini, zaman kegemilangan tulisan Jawi dapat dikembalikan kerana sesuatu bangsa itu akan dihormati kerana ketinggian budayanya,” titah baginda semasa merasmikan majlis penutup Seminar Antarabangsa Tulisan Jawi di sini, semalam.


Seminar dua hari itu bertema ‘Tulisan Jawi Pemangkin Kegemilangan Peradaban Ummah’ diadakan di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) dengan penyertaan peserta dari Malaysia, Thailand, Brunei dan Rusia.

Tengku Abdullah bertitah tulisan Jawi amat wajar dipertahankan kerana ia merupakan warisan sejarah dan budaya bangsa yang digunakan dalam aspek perdagangan.

“Malah, ia digunakan pegawai Inggeris pada zaman penjajahan British untuk berurusan dengan raja-raja dan pembesar Melayu.

“Tulisan Jawi di negara kita mengalami pasang surutnya dan pernah suatu ketika dipinggirkan kerana dalam Bahasa Melayu ada dua tulisan iaitu rumi dan Jawi,” titah baginda.

Menurut baginda adalah penting untuk mengembalikan kegemilangan tulisan Jawi kerana ia mampu menjadi bentuk perniagaan komersil melalui seni khat selain masih banyak manuskrip tulisan Jawi yang belum dikaji. – BERNAMA