Seramai 1.18 Juta Usahawan Wanita Berdaftar Dengan SSM

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Sebanyak 1.18 juta usahawan wanita telah mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) setakat ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Azizah Mohd Dun berkata bagi membantu golongan itu, kementerian menyediakan pelbagai program antaranya Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-KIT), Inkubator Keusahawanan Wanita (I-KeuNITA), 1Azam dan Mamacare.

“Bagi program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-KIT) seramai 2,359 ibu tunggal daripada 5,082 peserta telah berjaya menjadi usahawan selepas enam bulan mengikuti program ini dengan peningkatan purata pendapatan daripada RM500 kepada RM750 sebulan,” katanya menjawab soalan Rubiah Wang (BN-Kota Samarahan).

Beliau ingin tahu sasaran jumlah usahawan wanita luar bandar yang telah berjaya dicapai oleh kementerian dan apakah usaha untuk membangunkan mereka.

Azizah berkata melalui program Inkubator Keusahawanan Wanita (I-KeuNITA) pula, sehingga Disember lepas, seramai 1,446 orang daripada 7,719 wanita atau 19 peratus yang menyertai program itu telah berjaya menjadi usahawan.

“Program 1Azam pula telah berjaya membimbing 32,587 daripada 190,799 wanita dan berjaya meningkatkan pendapatan asal melebihi RM300,” katanya.

Azizah berkata program Mamacare iaitu penjagaan selepas bersalin pula telah berjaya memperoleh pendapatan berjumlah RM1.3 juta bagi 91 orang pemberi perkhidmatan tersebut sepanjang Januari 2013 hingga Disember 2014.

Katanya KPWKM juga berjaya membimbing 188 usahawan wanita melalui program Bazar Wanita. – BERNAMA