Siasatan Kes Murid Dipaksa Potong Lidah Siap Hujung Minggu Ini

KLANG – Siasatan membabitkan kes seorang murid yang mendakwa dipaksa memotong lidahnya sendiri dalam kejadian buli di sebuah sekolah di sini, Khamis lepas, dijangka siap pada hujung minggu ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Azman Abdul Razak berkata, pihaknya kini sedang dalam proses mendapatkan keterangan daripada pelbagai pihak antaranya mangsa, saksi, suspek dan guru-guru sekolah yang terlibat.

“Merekodkan keterangan daripada mangsa, saksi dan suspek merupakan cabaran terbesar pihak polis kerana mereka kanak-kanak kecil yang berumur kurang daripada 10 tahun.

“Kita perlu menunggu sehingga emosi mereka yang terlibat ini stabil terlebih dahulu sebelum keterangan boleh diambil supaya gambaran sebenar kejadian dapat diketahui,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tambahnya semua kenyataan itu akan diserahkan kepada Bukit Aman untuk dikaji dan pihak forensik juga telah dipanggil untuk mendapatkan bahan bukti termasuk sampel darah bagi menyokong keterangan saksi.

Jelas Azman, hasil siasatan lengkap itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Pada Khamis lepas, Muhammad Alif Shukran Alias, 8, mendakwa dipaksa memotong lidahnya sendiri oleh sekumpulan lima murid tahun tiga dari sekolah yang sama.

Berikutan kejadian itu, lidah mangsa putus sedikit di bahagian hujung dan menerima satu jahitan. – BERNAMA