Siti Nordiana Kesal Dituduh Enggan Tolak Ansur Bayaran


KUALA LUMPUR - Penyanyi Siti Nordiana meluahkan rasa kesal dituduh tidak boleh bertolak ansur soal bayaran persembahan selepas menjuarai pertandingan Gegar Vaganza musim kedua pada tahun lalu.

Siti Nordiana atau Nana, 33, bagaimanapun berkata, dakwaan sebegitu datangnya daripada individu yang tidak senang melihat kejayaan diraihnya hari ini sekali gus berniat ingin melihat kerjaya seninya jatuh.

"Jujurnya Nana agak terkejut dan kesal apabila ada pihak yang cuba menimbulkan isu sebegini di saat kerjaya seni Nana sedang diterima masyarakat. Apa-apa pun, Nana tidak mahu melatah kerana Nana tahu tidak semua orang akan sukakan kita.

“Nana bukan setahun dua dalam industri seni ini. Sudah 16 tahun. Justeru Nana sangat faham kenapa isu demand ini cuba dihangatkan oleh sesetengan pihak yang mungkin ada rasa tidak puas hati dengan Nana sebelum ini.

"Apa yang boleh Nana katakan, inilah bahagian Nana yang Allah janjikan dan apa yang perlu buat, hanya bersyukur dengannya,” katanya kepada mStar Online.

Nana ditemui pada majlis sidang media pelancaran minggu setiausaha bersamanya di Menara Kuala Lumpur, di sini pada Isnin.

Bercerita lanjut mengenai perkara itu, penyanyi lagu Cinta Hanya Sandaran ini tidak berniat untuk memilih sebarang persembahan seperti apa yang didakwa.

Jelas Nana, dia akan menerima tawaran seandainya  mampu untuk melaksanakannya.

"Sekarang kerjaya seni Nana diuruskan oleh pengurus peribadi Nana. Justeru, segala urusan persembahan dan jadual akan melalui dia terlebih dahulu sebelum kami berbincang agar tidak timbul sebarang kesulitan daripada mana-mana pihak pada masa akan datang.

"Satu perkara yang sering Nana tekankan sejak dulu, Nana tidak akan ambil tawaran sekiranya Nana tidak yakin untuk melakukannya. Bukan memilih tetapi Nana ada pendirian Nana sendiri agar tidak mengundang kesulitan pada mana-mana pihak," ujarnya.

Siti Nordiana (kiri) akan bergandingan dengan Dee (tengah) pada Minggu Setiausaha 27 April depan
Bercerita lanjut mengenai sambutan Minggu Setiausaha yang akan dijayakannya pada 27 April ini, kata Nana, ia adalah pengalaman kali pertamanya sejak 16 tahun bergelar artis.

"Kalau dulu Nana sekadar berangan-angan untuk menjayakan Minggu Setiausaha hari ini rezeki itu datang juga pada Nana.

"Nana tegaskan di sini, tawaran tersebut datang lebih awal daripada yang lain. Nana tidak mahu ada yang salah faham dan melabelkan Nana hanya memilih persembahan eksklusif dan berbayar tinggi sahaja,” katanya.

Untuk menyaksikan Minggu Setiausaha bersama Siti Nordiana, peminat boleh menghubungi pihak Atmosphere 360 Revolving Restaurant di talian 03-20202020 atau 03-20202121.

Tiket-tiket dijual pada harga RM198++ dan RM209.88 seorang.

Dalam perkembangan lain, Nana turut meluahkan rasa terharunya apabila namanya kini tercalon sebagai artis paling tinggi mendapat undian peminat di media sosial menerusi Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016).

"Nana dapat tahu perkara ini setelah membacanya sendiri di portal mStar Online selain peminat-peminat Nana sendiri yang beritahu pada Nana.

"Tak tahu pula kedudukan itu masih kekal sampai hari ini sebab saingan Nana bukan calang-calang artis. Di sini Nana hanya mampu berterima kasih kepada peminat-peminat yang begitu padu menyokong Nana dari belakang.

"Dalam meraih undi peminat, Nana tiada apa-apa strategi selain cuba menghargai peminat seadanya.

"Bagi Nana ini peluang kedua untuk Nana perbaiki kesilapan lalu di mana sebelum ini selama bergelar artis, Nana akui kurang dekat dengan peminat. Jadi, peluang yang ada ini Nana ambil untuk lebih menghargai mereka sama rata,” katanya.

APO2016 akan berlangsung pada 30 April depan di TV2 bertemakan Glam Digital.

Sumber: mStar