Skandal Banglo Guan Eng: Akuan Bersumpah Phang Didakwa "Bohong"

GEORGE TOWN – Ahli perniagaan Phang Li Koon didakwa berbohong dalam akuan bersumpah beliau sendiri berhubung isu penjualan skandal banglo RM2.8 juta kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Ia didedahkan Pemuda UMNO Pulau Pinang selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini Rabu mendakwa dakwaan Li Koon tiada sebarang urusan bisnes dengan kerajaan negeri adalah tidak tepat.

“Konon tidak ada apa-apa urusan perniagaan dengan kerajaan negeri tetapi jika merujuk laman web InvestPenang sendiri, beliau ialah pemegang saham beberapa syarikat disenaraikan di situ,” kata Ifan Zaimi Mohd. Tahar.

Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Pulau Pinang itu mendakwa Winbond Management and Consultancy Sdn. Bhd. disenaraikan sebagai satu syarikat yang diberi kelulusan untuk menyediakan pekerja asing di negeri ini.

Li Koon atau juga mesra disebut sebagai Miss Phang kata Ifan Zaimi, telah disenaraikan sebagai orang hubungan syarikat tersebut dan mendakwa beliau malah mempunyai kepentingan 20 peratus pegangan dalam firma itu.

Semakan menerusi InvestPenang menunjukkan Winbond Management and Consultancy Sdn. Bhd. disenaraikan di bawah menu “Sumber” dan salah satu pembekal perkhidmatan dalam senarai agensi pekerjaan di Pulau Pinang.


Dalam laporannya, Ifan Zaimi yang juga seorang peguam, mendakwa bahawa alasan “willing buyer, willing seller” kerana menjual banglonya di Jalan Pinhorn kepada Guan Eng di bawah nilai pasaran tidak sah dalam kes ini.

“Jika kita melihat Seksyen 165 Kanun Keseksaan, ia merujuk kepada seorang penjawat awam menerima sebarang benda yang berharga daripada seseorang dalam apa-apa prosiding atau pun transaksi perniagaan,” katanya.

Miss Phang katanya maklum bahawa Setiausaha Agung DAP itu hanya membayar RM2.8 juta untuk membeli rumah itu walhal anggaran nilai hartanah tersebut oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ialah RM4.27 juta.

Ia sekali gus jelas menunjukkan seorang penjawat awam menerima sesuatu berharga daripada orang lain. Justeru Ifan Zaimi menggesa polis siasat dakwaan Li Koon dan Guan Eng atas kemungkinan pelanggaran undang-undang.

Pada Selasa, Miss Phang mendedahkan bahawa beliau konon melakukan perjanjian lisan yang dibuat pada 2012 untuk menjual banglo tersebut di Jalan Pinhorn kepada Guan Eng dengan harga cuma RM2.8 juta.

Wanita ini menafikan ada sebarang urusan perniagaan dengan kerajaan negeri dan apa-apa hubungan dengan syarikat yang terlibat dalam penjualan kontroversi tanah Taman Manggis, yang dikaitkan dengan banglo itu.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya mengaitkan pembelian banglo oleh Guan Eng pada 2015 dengan isu tanah Taman Manggis selepas membangkitkan persoalan harga jualan rendah hartanah itu. – Agensi