Skandal Banglo LGE: Siasat Kemungkinan Elak Cukai

Isu pembelian rumah banglo oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Jalan Pinhorn bernilai lebih daripada RM2.8 juta menyebabkan NGO membuat laporan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menjalankan siasatan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa percukaian diminta menyiasat kemungkinan adanya percubaan mengelakkan cukai oleh penjual banglo RM2.8 juta yang dibeli oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng dikatakan di bawah harga pasaran.

Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC Datuk Seri S. Vell Paari berkata, jika terdapat kes, maka kedua-dua mereka harus didakwa kerana menipu kerajaan.

“Pihak berkuasa percukaian harus segera menyiasat perkara ini tanpa takut atau tanpa memihak,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Vell Paari juga merujuk kepada dakwaan Lim bahawa pembelian hartanah itu dibuat atas “kesediaan pembeli, kesediaan penjual”, oleh itu beliau tidak melanggar mana-mana undang-undang.

Beliau menarik perhatian bahawa bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo juga membeli hartanah di bawah harga pasaran berdasarkan premis yang sama, bagaimanapun Dr Mohd Khir menghadapi pertuduhan rasuah dan kemudian dihukum penjara.

Vell Paari menimbulkan persoalan mengapa Lim tidak harus disiasat oleh pihak berkuasa dan didakwa di mahkamah atas pertuduhan yang sama. – BERNAMA