Skandal Banglo Mewah: Guan Eng Enggan Cuti

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata hari ini beliau tidak nampak sebarang sebab perlu bercuti ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadapnya.

“Saya tidak nampak mengapa perlu bercuti kerana dakwaan yang terang-terang palsu terhadap saya,” katanya dalam satu kenyataan yang dicatat dalam Facebooknya.

Guan Eng menegaskan beliau tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi hasil siasatan SPRM atau ke atas Peguam Negara, yang mempunyai kuasa pendakwaan sepenuhnya.

Malah pemimpin DAP itu berkata, beliau telah juga menyatakan akan memberi kerjasama penuhnya kepada SPRM dan berharap siasatan yang adil, bebas dan profesional dijalankan.

“Saya serahkan kepada SPRM menjalankan siasatan dan akan meminta mereka menyiapkannya dengan segera agar nama saya dan nama kerajaan negeri dibersihkan,” kata beliau.

Media hari ini menyebut Presiden Majlis Peguam Malaysia, Steven Thiru antara yang mencadangkan Guan Eng bercuti, sehingga siasatan SPRM terhadap pembelian banglo RM2.8 juta yang mencetuskan kontroversi selesai.

Isnin lepas, Pemuda PAS Pulau Pinang turut menggesa Guan Eng bercuti.

Sementara itu, Guan Eng mendakwa konon beliau sentiasa menjalankan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang berdasarkan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT). – BERNAMA