Sokong PM: "Apa Yang Nak Sibuk Sangat? Itu Hak Saya" - Ku Li

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyelar pihak yang mempersoal hak beliau untuk menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Kata Tengku Razaleigh yang turut dikenali dengan panggilan "Ku Li", pendirian itu adalah hak beliau dan menegaskan bahawa dirinya tidak pernah terlibat dengan sebarang gerakan menjatuhkan Mohd Najib.

“Saya menandatangani Deklarasi UMNO Kelantan bukan bermaksud saya berpaling tadah. Saya tidak pernah terlibat dalam mana-mana gerakan.

“Apa yang nak sibuk sangat. Sebagai ahli UMNO itu hak saya menyokong kepemimpinan, saya tidak pernah terlibat dengan gerakan,” tegas Ku Li dalam satu sidang akhbar di pejabatnya, di sini hari ini.

Tokoh sebenar yang mengasaskan penubuhan Petronas itu dalam kenyataan tersebut turut menjelaskan bahawa dirinya tidak pernah setuju dengan gerakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Mohd Najib dari kerusi Perdana Menteri.

Tegasnya, sebagai ahli UMNO beliau memberikan kesetiaan dan sokongan kepada kerajaan sedia ada, justeru tidak timbul persoalan tindakannya itu menunjukkan beliau berpaling tadah terhadap Dr. Mahathir. -Kedahnews.com