"Striker" Kedah Faridzuan Che Hamid 20 Tahun Tak Layan Liga Malaysia

Aksi Faridzuan bersama Hijau Kuning pada zaman kegemilangan pasukan itu pada era awal 90-an.
BEKAS legenda Hijau Kuning, Faridzuan Che Hamid, 45 tidak ambil tahu perkembangan semasa Liga Malaysia selama 20 tahun selepas kecewa dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Namun hasil pujukan bekas-bekas pemain lain, dia kembali aktif bersama Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Kedah (KEFA) kira-kira dua tahun lalu dengan sertai perlawanan persahabatan dan amal.

Faridzuan merupakan salah seorang dari 216 pemain digantung dari terbabit dengan sebarang aktiviti yang melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada tahun 1994.

Dia mempersoalkan apa motif badan induk bolasepak sehingga ke hari ini mahu terus menghukum bekas-bekas pemain yang digantung sedangkan perkara itu sudah berlarutan selama 22 tahun.

“Kalau tanya pasal rasa kecewa memang saya sangat terasa sehingga langsung tidak mahu ambil tahu tentang Liga Malaysia sejak 1996.

Sebenarnya saya hanya digantung selama dua tahun dan selepas tamat tempoh penggantungan ada pasukan telah tawarkan untuk bermain dengan mereka tapi FAM tidak benarkan.

"Saya rasa pelik dengan tindakan FAM ini dan sehingga hari ini saya masih mahu tanya apa motif sebenar mereka seolah-olah kami telah pun digantung sepanjang hidup dari aktiviti bolasepak di negara ini,” katanya.

Kecewa dengan tindakan badan induk itu, Faridzuan ambil keputusan menghilangkan diri dari dunia bola sepak sejak peristiwa itu sebelum kembali untuk perjuangkan bekas pemain yang senasibnya hari ini.

Pada zaman keemasannya, legenda kelahiran Pulau Tuba ini telah menghadirkan beberapa kejayaan buat Kedah antaranya membantu pasukan muncul juara Liga Divisyen II (Liga Premier) 1992 selain mencatatkan rekod tanpa kalah dalam liga, naib juara Piala Malaysia 1992, Juara Liga Divisyen I (Liga Super) 1993, Juara Piala Malaysia 1993 dan Juara Piala Sumbangsih 1994.

Pada waktu yang sama aksi cemerlangnya ditagih bersama skuad negara selama beberapa tahun.

Sumber: Sinar Harian