Empat sekeluarga terpaksa menjadikan pondok buruk dekat ladang getah Batu 5 Jeniang sebagai tempat berteduh. |
GURUN - “Pernah suatu ketika, kami hanya beri anak-anak makan jambu dan betik selama dua hari akibat tiada wang."
Demikian pengakuan Siti Zaleha Yahya, 34, berhubung kesempitan hidup yang ditanggung menyebabkan dua anaknya, Mohd Idid Mustaqim, 11 dan Mohd Amsyar Muhaimin, 2, turut menanggung susah.
Suaminya, Tasmin Mohd Yaacob, 45, hanya mengambil upah menoreh getah dan memperolehi pendapatan sekitar RM200 sebulan.
Akibat kesempitan hidup, empat sekeluarga itu menjadikan pondok buruk dalam sebuah kebun getah di Jalan Batu 5 Jeniang- Gurun sebagai tempat berteduh sejak setahun lalu.
Pondok tanpa kemudahan asas itu dijadikan tempat tidur, ruang rehat dan makan dengan menjadikan lilin sebagai peneman selain laluan parit berdekatan sebagai sumber bekalan air.
Siti Zaleha berkata, tiga lagi anak perempuannya, Siti Nur Farahanim, 14, Siti Nur Farhana, 13, dan Siti Nur Syarmila, 7, ditinggalkan bersama nenek di Kampung Bukit Jering, Kuala Balah, Jeli, Kelantan.
“Kali terakhir saya hubungi mereka enam bulan lalu. Setiap kali dapat bercakap, mereka sentiasa rayu agar kami pulang bawa mereka menetap bersama, namun melihat nasib yang serba kekurangan, kami mengambil keputusan biarkan dahulu,” jelasnya dengan nada sebak.
Dalam pada itu, Tasmin berkata, dengan pendapatan yang rendah, dia tidak mampu menyewa rumah yang selesa, apatah lagi menyekolahkan anak-anak.
Katanya, pondok yang dibina sendiri menggunakan barangan terpakai itu didirikan atas kebenaran pemilik yang juga merupakan majikannya.
Sementara itu, kisah keluarga terbabit mendapat perhatian lebih 20 ahli Pas Cawangan Taman Ria Mesra I dan II yang hadir melakukan kunjungan termasuk menyumbangkan barangan keperluan harian.
Ketua Cawangan Pas Taman Ria Mesra I,Abdul Mutalib Bahudin berkata, melalui Tabung Nur Kasih, sedikit sumbangan diserahkan kepada Tasmin dan keluarga.
“Kami juga bercadang untuk tawarkan sebuah rumah kepada keluarga ini menetap tidak jauh dari jalan utama berbanding kini agak terpencil kerana terpaksa melalui kira-kira tiga kilometer ladang getah sekiranya mereka setuju,” katanya.
Sementara itu, melalui semakan Jabatan Kebajikan Masyarakat, keluarga itu sudah pun menerima bantuan bulanan ketika berada di Kelantan, namun ditamatkan atas alasan Tasmin sudah sihat dan boleh bekerja.
Dalam perkembangan sama, mereka turut menerima kunjungan Lembaga Zakat Negeri Kedah Cawangan Kuala Muda yang melakukan siasatan sebaik sahaja mendapat maklumat berhubung perkara itu.
Pengurusnya, Md Sharif Md Isa berkata, sebagai permulaan, pihaknya akan menyalurkan Bantuan Kewangan Sara Hidup bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban mereka, boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam milik Siti Zaleha bernombor 03054020465647.
Sumber: Sinar Harian