ALOR SETAR - Jumlah takungan air di tiga empangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) mencukupi bagi menampung sistem pengairan untuk penanaman padi Musim 1/2016 walaupun berdepan fenomena El Nino, kata Pengerusi Mada Datuk Othman Aziz.
Katanya, jumlah takungan air di Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning adalah sebanyak 1,233 juta meter padu dan berada pada tahap 81.77 peratus, iaitu jauh mencukupi daripada keperluan semasa.
"Jumlah takungan di ketiga-tiga empangan adalah mencukupi kerana untuk menjalankan kerja pengairan bagi Musim 1/2016 sebanyak 679 juta meter padu diperlukan dan jumlah takungan itu adalah mencukupi.
"Kita akan meneruskan rancangan untuk mengairi kawasan Mada seluas 100,000 hektar, jadi para petani tidak perlu risau dan diminta untuk mematuhi jadual penanaman padi yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Bagaimanapun beliau berkata Mada tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengitar semula air bagi memaksimum dan menjimatkan penggunaan air dari empangan.
"Sekarang kita telah pasang 105 pam yang digunakan untuk proses mengitar semula air di seluruh kawasan Mada dan proses ini dilihat dapat menjimatkan antara 10 hingga 20 peratus bekalan air dari empangan," katanya. - Bernama