Tangguh Program MyBeras Dijangka Jejas Penoreh - CAKE


ALOR SETAR - Penangguhan program bantuan beras, MyBeras dari Mac ke Mei 2016 dikhuatiri mampu menjejaskan golongan miskin tegar terutamanya penoreh getah.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail berkata, golongan berkenaan pula terpaksa berdepan dengan kejatuhan harga getah sejak akhir-akhir ini.

“Melalui program MyBeras berkenaan, golongan miskin tegar berkelayakan sepatutnya dapat menikmati kemudahan bantuan beras percuma bermula Mac tahun ini.

“Bagaimanapun kini, penerima berkelayakan hanya berpeluang menikmati bantuan berkenaan dalam tempoh dua bulan lagi, “ katanya kepada Sinar Harian.

Sedangkan, kata Yusoff, ada penduduk miskin khususnya penoreh getah didakwa tidak lagi mampu membeli beras dalam keadaan ekonomi negara sekarang.

Katanya, beliau banyak menerima aduan penduduk miskin memaklumkan mereka mengalami kesempitan hidup sehingga tidak berkemampuan memberi anak makan nasi.

Menurutnya, kementerian sewajarnya memiliki tindakan alternatif membantu penduduk, sekiranya menangguhkan program MyBeras dan memansuhkan program subsidi beras Super Tempatan (ST) 15 peratus.

Yusoff berkata, sementara projek bantuan sedemikian dirancang kementerian masih dalam peringkat penelitian, adalah lebih baik program subsidi beras ST 15 diteruskan.

Berhubung penangguhan program MyBeras demi memperhalusi senarai penerima agar telus dan tidak tercicir, katanya, pihak berkenaan boleh merujuk juga senarai penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Beliau berkata, langkah merujuk senarai berkenaan dilihat mampu menyelesaikan isu mengenal pasti penerima paling layak menerima bantuan MyBeras lebih cepat.

Semalam, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memaklumkan program MyBeras ditangguhkan ke Mei ini demi memperhalusi senarai penerima.

Setakat ini, kira-kira 100,000 penerima dikenal pasti termasuklah 83,000 yang berdaftar di bawah e-kasih, untuk itu kementerian akan bekerjasama dengan agensi terlibat untuk mengemas kini senarai penerima.

Sumber: Sinar Harian