![]() |
Waris remaja lelaki OKU disiasat pegawai JKM. |
SUNGAI PETANI - Dua lelaki orang kurang upaya (OKU) yang mengemis di lokasi berasingan di sini, diberikan amaran oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar tidak mengulangi perbuatan mereka itu bagi meraih pendapatan.
Difahamkan salah seorang daripada mereka mendapat bantuan daripada JKM Perlis RM300 sebulan, bagaimanapun masih mengemis.
Lelaki berusia 16 tahun itu ditemui dalam keadaan terlantar di kerusi roda ditemani warisnya berusia 61 tahun dan 48 tahun beralamat dari Perlis sedang meraih simpati orang awam di pasar pagi Taman Ria Jaya.
Sementara itu, seorang lelaki OKU yang mempunyai masalah pembelajaran ditemui mengemis di Pasar Tani Jalan Petri di sini.
Penolong Pegawai dan Ketua Unit Penguatkuasaan JKM Daerah Kuala Muda, Azirawati Abdullah berkata, hasil operasi yang dijalankan selama dua jam itu, pihaknya menemui dua pengemis itu yang didapati memberi alasan bahawa itu adalah kali pertama mereka mengemis.
"Remaja 16 tahun meraih simpati dengan meletakkan kain yang dipenuhi tulisan bahasa Cina dan sebuah tabung.
"Selepas disoal siasat, warisnya mengakui ini adalah kali pertama mereka datang mengemis di sini,” katanya.
Azirawati berkata, dalam kes kedua, lelaki berusia 29 tahun yang mendakwa dirinya anak yatim piatu tinggal di Kota Kuala Muda bersama abangnya.
Beliau berkata, ketika ditemui pihak JKM mendapati, lelaki itu berjaya meraih derma RM72 dalam tempoh kira-kira tiga jam.
"Lelaki itu mengaku mengemis kerana mahu menyara dirinya," katanya.
Sumber: Sinar Harian