Tiga Dicekup Ketika Khayal Di Rumah Di Sungai Lalang

Tiga lelaki yang ditahan dalam keadaan khayal ketika serbuan dilakukan.
SUNGAI PETANI - Tiga lelaki berusia 25 hingga 49 tahun yang sedang khayal antara yang ditahan dalam serbuan di sebuah rumah dekat Taman Sungai Lalang 2, di sini, baru-baru ini.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah, Mohammad Nazer Mustafa berkata, lokasi terbabit juga dipercayai menjadi sarang penagihan termasuk tempat membungkus dadah secara kecil-kecilan berdasarkan perkakasan yang ditemui.

Menurutnya, serbuan dilakukan sepasukan unit penguatkuasaan AADK Kuala Muda yang diketuai Ku Marul Azwan Ku Mansor hasil maklumat daripada orang awam.

“Semasa serbuan, tiga individu berada di dalam sebuah bilik dipercayai sedang khayal melayan dadah,” katanya.

Beliau berkata, kesemua lelaki terbabit dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati, kesemua positif dadah jenis methamphetamin dan ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983,” katanya.

Tambahnya, dadah jenis methamphetamin bukan sahaja menjadi kegilaan anak muda, tetapi turut menjadi pilihan golongan tua bagi mencapai kepuasan dan keseronokan.

Dalam pada itu, AADK Daerah Kuala Muda sentiasa menjalinkan hubungan dengan pemimpin masyarakat bagi memerangi dadah habis-habisan sebagai langkah pencegahan agar mengelakkan lebih ramai penagih baru terjebak dengan najis dadah.

“Kerjasama yang dijalinkan bersama AADK dan masyarakat pastinya memberi satu manfaat bagi bersama-sama menghapuskan port dadah dalam komuniti.

“Masyarakat sebaliknya perlu mengelak dari bersikap pentingkan diri, tetapi lebih kepada memainkan peranan dalam memahami, mengambil tindakan dan menjadi barisan hadapan dalam menangani isu dadah dalam kalangan komuniti,” katanya.

Sumber: Sinar Harian