GURUN - Empat sekeluarga yang mendakwa menetap di kebun getah dekat Batu 5 Jalan Jeniang, di sini, baru sahaja enam bulan berpindah di kawasan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu 5 Jalan Jeniang, Yusof Othman berkata, hasil semakan mendapati, pasangan terbabit Tasmin Mohd Yaacob, 45, dan Siti Zaleha Yahya, 34, bersama dua lagi anak mereka menumpang teduh di pondok usang itu atas kebenaran majikannya.
Menurutnya, Tasmin bersama keluarganya menetap di kebun getah itu kerana berperanan mengawasi kebun daripada berlakunya kecurian.
“Kita nasihatkan Tasmin agar tidak memencilkan diri, sering bergaul dengan masyarakat, membina hubungan kejiranan, di samping mengunjungi surau dan masjid.
“Kita sentiasa pantau dan awasi pergerakannya bagi membolehkan kehidupan mereka berjalan seperti biasa dan tidak terabai seperti didakwa sesetengah pihak,” katanya.
Beliau turut menasihatkan keluarga itu supaya mencari penempatan baharu yang sesuai bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Mereka berjanji akan keluar dari kawasan itu dalam tempoh terdekat bagi mengelak persepsi buruk masyarakat, terutama penglibatan dalam perkara tidak sihat serta diingatkan agar tidak mengambil kesempatan atas belas ihsan orang ramai,” katanya.
Sumber: Sinar Harian